PETALING JAYA: Pelakon Fadzlan Hazim tampil menjelaskan sebab dia tidak bersama kumpulan Versatility In Performance (VIP) ketika kemunculan semula kumpulan itu dalam Konsert Tukang Gempak Adam, baru-baru ini.
Menurut Fadzlan Hazim Anuar, 34, dia tidak menerima sebarang pelawaan untuk menyertai persembahan tersebut.
“Mereka tidak ajak saya semasa konsert itu.Kami ada berhubung, cumanya mereka tidak ajak saya untuk buat persembahan bersama,” katanya ketika ditemui dalam Malam Gala Filem Nar’sata: Sekutu Setan, semalam.
Bagaimanapun, Fadzlan berkata, dia tidak berkecil hati dengan situasi tersebut.
“Tak ada terasa apa-apa,” katanya ringkas.
Tambah Fadzlan yang juga membintangi filem Nar’sata: Sekutu Setan itu, perjalanan bersama kumpulan VIP sebenarnya sudah berakhir sejak tahun 2012 lagi.
“Saya dengan kumpulan VIP telah berakhir sejak 2012 lagi.Bila tengok mereka kembali buat persembahan, saya seronok melihat mereka. Buatkan saya terimbau kembali memori-memori dulu.
“Dalam dua tiga tahun itu, memang banyak kenangan-kenangan yang kelakar, susah dan macam-macam perangai,” katanya.
Bagaimanapun, Fadzlan menganggap semua perkara tersebut sebagai kisah lama.
Dalam masa sama, dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali bersama VIP sekiranya menerima pelawaan pada masa akan datang.
“Ya, saya okay sahaja sekiranya mereka mahu ajak saya. Rindu itu mestilah ada. Tapi ada yang cakap, rindu boleh tapi kembali jangan.Tapi saya mengaku yang saya memang rindu kumpulan VIP,” katanya.
Terdahulu, kumpulan VIP telah ditubuhkan pada awal tahun 2011 yang dianggotai lima ahli.
Bagaimanapun, Fadlan pada tahun 2012 mengumumkan mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut kerana tidak mempunyai keserasian. – UTUSAN






