July 16, 2024

BWF semak semula protokol tindak balas kecemasan susulan kematian pemain

BWF semak semula protokol tindak balas kecemasan susulan kematian pemain


PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) menyemak semula protokol tindak balas kecemasannya susulan kematian pemain muda China, Zhang Zhi Jie selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, Ahad lepas.

BWF dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengkaji semula insiden itu secara menyeluruh dan akan memutuskan sama ada aspek tertentu dalam garis panduan berkenaan perlu diubah.

Menyifatkan kematian Zhi Jie sebagai kejadian tragik, menurut BWF pihaknya sedang menunggu laporan rasmi daripada Badminton Asia dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan untuk menilai sama ada prosedur perubatan yang yang betul telah dipatuhi dalam memberikan bantuan kepada pemain berusia 17 tahun itu ketika dia rebah di gelanggang.

Walaupun kejohanan itu di bawah bidang kuasa Badminton Asia, BWF memaklumkan terdapat satu garis panduan perubatan dan arahan umum untuk digunakan oleh badan pentadbiran lain sukan itu (peringkat serantau atau kebangsaan) yang menganjurkan kejohanan yang dibenarkan BWF.

Menurut garis panduan itu doktor kejohanan di bawah arahan pengadil, bertanggungjawab mengendalikan kecemasan dalam gelanggang termasuk kemungkinan kes serangan jantung hingga perkhidmatan perubatan yang sewajarnya, seperti ketibaan ambulans.

“Bagaimanapun, terpulang kepada setiap badan pentadbiran terlibat untuk memutuskan cara ia melaksanakan protokol dan amalan perubatan di tempat kejohanan. Apabila melaksanakan garis panduan ini, ditekankan bahawa semua petugas perlu bersedia sepanjang masa untuk bertindak balas terhadap keperluan intervensi perubatan termasuk kecemasan secepat yang mungkin

“Semakan sedia ada yang dimulakan awal tahun ini untuk menilai dasar dan prosedur BWF mengenai intervensi kecemasan oleh doktor kejohanan bagi memastikan penjagaan paling sesuai dan tepat pada masanya, akan memasukkan sekali hasil penilaian BWF dan laporan Badminton Asia,” menurut kenyataan itu.

BWF turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Zhi Jie, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China dan seluruh komuniti badminton negara itu.

Zhi Jie, pemain perseorangan lelaki, rebah di gelanggang semasa menentang pemain Jepun Kazuma pada perlawanan peringkat kumpulan di Among Rogo Sport Arena.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan oleh Badminton Asia dan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) susulan insiden itu, mereka memaklumkan Zhang meninggal dunia pada jam 11.20 (waktu tempatan), Ahad lepas. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top