July 15, 2024

Euro 2024 terakhir buat Ronaldo

Euro 2024 terakhir buat Ronaldo


JERMAN – Ketua pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo mengesahkan temasya UEFA Euro 2024 yang berlangsung di Jerman ketika ini akan menjadi kejohanan terakhir beliau.

Namun bekas pemain Juventus dan Real Madrid enggan dibuai emosi sebaliknya gembira dengan apa yang telah dicapainya dalam bola sepak.

“Semangat yang saya tunjukkan, semangat daripada penyokong, keluarga saya hadir setiap kali saya beraksi. Apa lagi untuk saya raih atau menangi?

“Perkara paling penting ialah perjalanan yang mana saya selalu bersemangat dari hari pertama.

“Sudah 20 tahun saya bermain dengan pasukan kebangsaan, membawa kegembiraan kepada orang ramai, kepada keluarga, anak-anak saya, itulah yang paling menggembirakan saya,” katanya kepada stesen TV Portugal di sini.

Ronaldo telah beraksi dalam enam edisi Euro di mana kali pertama dia terlibat ialah pada edisi 2004.

Selepas ini, United Kingdom dan Ireland akan menjadi tuan rumah bagi edisi 2028 di mana salah satu pemain terbaik dunia ini akan menginjak usia 43 tahun.

Kelmarin, Ronaldo membantu Portugal mara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Slovenia menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat tanpa jaringan.

Pemain berusia 39 tahun itu menangis selepas perlawanan dan dia menjelaskan mengapa air matanya gugur selepas Portugal mara ke suku akhir.

“Saya berpeluang untuk meletakkan pasukan kebangsaan berada di hadapan tetapi saya gagal melakukannya kerana Oblak telah menyelamatkan sepakan penalti itu dengan cukup baik.”

“Saya perlu mengkaji semula penalti itu, saya tidak tahu sama ada saya menendang dengan baik atau tidak, tetapi sepanjang tahun ini saya tidak pernah gagal sekali pun (menyempurnakan sepakan penalti) dan pada saat yang paling penting, Oblak menyelamatkannya.”

“Yang paling penting adalah menikmati detik ini (mara ke suku akhir), pasukan melakukan pekerjaan luar biasa, kami bertarung hingga ke akhir dan jika anda menganalisis perlawanan dengan baik, Portugal layak mendapatkannya kerana kami memiliki lebih banyak peluang,” katanya. – Agensi



Source link

OR

Scroll to Top