Cabar Diri Ceburi Sukan Motosikal Lasak Sejak 17 Tahun Lalu SHAMIRA Tidak Gentar – Hijabista

Cabar Diri Ceburi Sukan Motosikal Lasak Sejak 17 Tahun Lalu SHAMIRA Tidak Gentar – Hijabista

Berusia 29 tahun dan berketinggian 155 sentimeter, pemilik nama penuh Nor Shamira Nor Azahar ini seorang yang berjiwa lasak. Bekerja sebagai Pembantu Pengurus bank, Shamira menceburi sukan motosikal lasak sejak 17 tahun lalu.

Menurut anak jati Kuala Kangsar ini, minat terhadap sukan tersebut berputik apabila sering menemani bapanya, Nor Azahar Ismail yang aktif menyertai pelbagai kejohanan motosikal lasak di seluruh Malaysia.

Cabar Diri Ceburi Sukan Motosikal Lasak Sejak 17 Tahun Lalu SHAMIRA Tidak Gentar
Kredit Foto: bernamaofficial

“Sekitar tahun 2007 dan pada usia 12 tahun, saya mula memberanikan diri untuk mencuba sukan ini. Ayah antara ‘guru’ saya pada waktu itu yang banyak mengajar tentang cara menunggang motosikal dengan betul, bagaimana nak kawal klac tangan dan sebagainya.

“Saya ambil setahun untuk memahirkan diri dan alhamdulillah, dari sekadar mengisi masa lapang, saya kemudian turut aktif menyertai pertandingan motosikal lasak di seluruh negara,” katanya ketika ditemui Bernama sewaktu menyertai Rimba Raid Lenggong 2024 (turut dikenali sebagai perlumbaan Enduro) baru-baru ini.

Anak ketiga daripada lima beradik ini menjelaskan, sepanjang berkecimpung dalam sukan tersebut dia banyak meraih pengalaman dengan menyertai dua jenis perlumbaan motosikal lasak melibatkan kategori Motocross (MX) dan Enduro.

Shamira memberi lebih tumpuan kepada perlumbaan Enduro yang amat memberikan kepuasan selain menguji ketahanan mental serta fizikal. Shamira menyertai perlumbaan Enduro sejak tahun 2022.

“Kategori MX, jarak keseluruhan litar hanya dua kilometer selain terdapat halangan yang perlu ditempuhi seperti table top, single jump dan double jump manakala Enduro pula jaraknya beratus kilometer serta memakan masa dua hingga tiga hari untuk dihabiskan.

“Enduro lebih mengujakan pada saya kerana ia memerlukan kita menggunakan segenap kekuatan untuk menempuh pelbagai halangan sukar dan lasak,” katanya.

BACA JUGA: Gaya Memukau ‘Lady Biker’ DIAN AYU LESTARI, Cantik & Berjiwa Lasak!

Cabar Diri Ceburi Sukan Motosikal Lasak Sejak 17 Tahun Lalu SHAMIRA Tidak GentarCabar Diri Ceburi Sukan Motosikal Lasak Sejak 17 Tahun Lalu SHAMIRA Tidak Gentar
Kredit Foto: bernamaofficial

Selain itu menurut Shamira, kejayaan dinobatkan sebagai pelumba wanita terpantas dalam perlumbaan Rimba Raid Lenggong 2024 (Lenggong, Perak) bagi kategori 250-500cc pada September lepas merupakan pencapaian tertinggi pernah diraih sepanjang bergelar pelumba motosikal lasak.

Katanya, kejayaan itu juga banyak dibantu oleh jenama motosikal KTM Asia yang sanggup menaja serta memberi peluang kepadanya menggunakan jentera KTM EXC 250 Six Days bagi mengharungi perlumbaan yang memakan masa selama tiga hari itu.

“Selain dinobatkan sebagai pelumba wanita terpantas, saya juga meraih kedudukan ketujuh daripada keseluruhan peserta yang mengambil bahagian dalam kategori tersebut.

“Bagi saya pencapaian yang diraih itu bukan mudah dan ia menguatkan lagi tekad saya untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan dalam sukan ini,” katanya.

Tambah Shamira, dalam setiap perlumbaan keselamatan merupakan antara elemen utama yang perlu diberikan penekanan bagi mengelak situasi tidak diingini.

“Saya sendiri pernah patah dua jari tangan kanan pada 2009 dan mengalami kecederaan di bahu sebanyak dua kali pada 2010 dan 2012. Ia satu lumrah kepada sesiapa sahaja yang berminat mahu sertai sukan ini.

“Cuma nasihat saya, jangan ambil mudah hal keselamatan serta perlu pastikan motosikal berada pada tahap terbaik sebelum memulakan latihan atau perlumbaan,” katanya.

Ditanya tentang pandangan masyarakat terhadap penglibatan wanita dalam sukan itu, Shamira berkata, meskipun ramai memberi dukungan, namun ada juga yang tidak bersetuju terutama kaum lelaki.

“Kena terima hakikat, apa yang kita lakukan mesti akan ada yang sokong dan bantah. Apa yang boleh saya beritahu, wanita yang ingin terbabit dengan sukan ini, jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru,” katanya.

Sumber: Bernama

OR

Scroll to Top