PENGENDALI Manchester United, Michael Carrick memuji impak luar biasa yang dipamerkan oleh pemain gantian, Benjamin Sesko selepas penyudah tenang penyerang kelahiran Slovenia itu memastikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton.
Sesko masih belum membarisi kesebelasan utama sepanjang enam perlawanan di bawah bimbingan Carrick, namun dia cemerlang membuktikan sentuhannya selaku ‘super-sub‘ apabila meledak gol-gol penting dalam tiga daripada empat penampilan terakhirnya.
Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini turut menjaringkan gol kemenangan lewat permainan menentang Fulham dan menyelamatkan satu mata untuk United ketika diikat West Ham pada masa kecederaan.
Dalam aksi itu, gandingan trio serangan baharu bernilai £200 juta yang ditandatangani United pada musim panas lalu membuktikan pelaburan berbaloi apabila mereka bergabung untuk merencana gol kemenangan.
Matheus Cunha bijak membaca larian Bryan Mbeumo sebelum hantarannya disudahkan dengan cemerlang oleh Sesko untuk gol keenamnya dalam tujuh penampilan sejak bekas pengurus, Ruben Amorim dipecat pada Januari lalu.
Kemenangan berharga itu melonjakkan The Red Devils ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), berkelebihan tiga mata di hadapan Liverpool dan Chelsea dalam misi memburu tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
“Ia satu penyudah yang cukup berbisa. Saya suka cara dia (Sesko) menjaringkan gol dengan penuh keyakinan.
“Satu pergerakan hebat daripada Matheus dan Bryan untuk merencana gol tersebut. Saya sangat gembira untuk Ben (Sesko) kerana sekali lagi masuk dari bangku simpanan dan mencipta perbezaan,” kata Carrick yang kini merekodkan lima kemenangan dan satu seri sejak mengambil alih tugas di Old Trafford.
Walaupun United gagal mengulangi prestasi memukau seperti ketika menewaskan pencabar kejuaraan, Arsenal dan Manchester City pada awal tugasan Carrick, namun dia tetap berpuas hati dengan rekod tanpa bolos ketiga dalam enam perlawanan terakhir mereka.
Sebagai rekod, sebelum ketibaan Carrick, pintu gol United hanya kebal dalam dua daripada 29 perlawanan sepanjang musim ini.
“Kami terpaksa bekerja keras. Kredit kepada Everton kerana banyak menyukarkan tugas kami dan memaksa pasukan bertahan di kawasan sendiri. Namun, semangat yang ditunjukkan pemain ketika mengawal kotak penalti adalah bertaraf dunia,” tambahnya.
Dalam masa sama, Carrick turut memuji penjaga gol, Senne Lammens yang mempamerkan beberapa aksi menyelamat penting, sekali gus meneruskan musim debut yang cemerlang buat pemain dari Belgium berusia 23 tahun itu.
“Senne sangat luar biasa malam ini. Anda tidak boleh meminta lebih banyak lagi daripada seorang penjaga gol. Ia satu persembahan yang wajar dijadikan contoh dan saya tumpang gembira untuknya.
“Anda perlukan seorang penjaga gol yang mampu meredakan situasi kelam-kabut di gawang, dan itulah yang ada pada Senne. Ketenangan yang dimilikinya amat membantu rakan-rakan di bahagian pertahanan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Michael Carrick memuji impak Benjamin Sesko sebagai pemain gantian yang memberikan kemenangan kepada Manchester United atas Everton
- Sesko telah mencetak gol penting dalam tiga daripada empat penampilan terakhirnya walaupun belum menjadi pemain utama sejak ditukar pengurus
- Trio serangan baharu United bernilai £200 juta berjaya membuktikan pelaburan berbaloi dengan menyumbang kepada gol kemenangan
- Kemenangan itu menaikkan United ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris, meninggalkan Liverpool dan Chelsea
- Carrick juga memuji penjaga gol Senne Lammens yang mempamerkan persembahan cemerlang, membantu United menjaga rekod pertahanan yang kukuh






