Clarke letak jawatan sebagai pengurus Scotland

Clarke letak jawatan sebagai pengurus Scotland


STEVE Clarke meletakkan jawatan sebagai pengurus Scotland sejurus selepas pasukannya sah tersingkir daripada Piala Dunia 2026, umum Persatuan Bolasepak Scotland (SFA).

Keputusan itu dibuat hanya sebulan selepas pengendali berusia 62 tahun itu menandatangani kontrak baharu yang sepatutnya menyaksikannya terus membimbing Scotland sehingga Piala Dunia 2030 serta Kejohanan Euro 2028.

Scotland menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan C di belakang Brazil dan Maghribi selepas hanya mencatat satu kemenangan ke atas Haiti sebelum tewas kepada Maghribi dan Brazil.

Harapan mereka untuk mara sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik turut berkubur susulan kemenangan Croatia ke atas Ghana.

Dalam kenyataannya, Clarke berkata keputusan untuk berundur bukan sesuatu yang mudah, namun percaya sudah tiba masanya Scotland memulakan lembaran baharu.

“Saya berbesar hati diberi peluang membimbing negara sendiri. Menjadi pengurus Scotland adalah penghormatan terbesar dalam kerjaya saya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain yang memberikan komitmen luar biasa sepanjang tempoh saya bersama pasukan. Kami berkongsi banyak detik istimewa dan saya akan sentiasa menghargainya,” katanya.

Clarke mengambil alih Scotland pada 2019 dan muncul antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah moden negara itu apabila membawa pasukan layak ke dua Kejohanan Euro berturut-turut serta menamatkan penantian 28 tahun untuk beraksi semula di pentas Piala Dunia.

Ketua Eksekutif SFA, Ian Maxwell menyifatkan sumbangan Clarke amat besar dalam mengembalikan daya saing Scotland di pentas antarabangsa.

“Steve meninggalkan asas yang kukuh untuk diteruskan. Beliau berjaya mengembalikan keyakinan pemain, penyokong dan seluruh negara terhadap skuad kebangsaan.

“Kami berterima kasih atas segala jasa dan dedikasinya, selain mendoakan yang terbaik buat beliau pada masa depan,” katanya.

SFA dijangka memulakan proses mencari pengendali baharu dalam masa terdekat sebagai persediaan menghadapi kempen kelayakan kejohanan akan datang.



Source link

OR

Scroll to Top