HARRY Kane mencipta sejarah apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman England dalam sejarah Piala Dunia selepas membantu pasukannya menewaskan Panama 2-0 di Stadium New York New Jersey.
Kemenangan itu turut mengesahkan England mara ke pusingan 32 terbaik selaku juara kumpulan, dengan Jude Bellingham turut mencatat nama sebagai penjaring.
Kane menanduk masuk hantaran silang Bellingham untuk gol kedua England, sekali gus meledakkan gol ke-11nya di pentas Piala Dunia bagi memintas rekod 10 gol milik legenda England, Gary Lineker.
Jaringan itu juga menyaksikan kapten England berusia 32 tahun itu kini mengumpul 18 gol dalam kejohanan utama bersama skuad kebangsaan.
“Matlamat pertama kami sudah tercapai. Ia adalah gerakan yang cukup baik dan dapat membantu Harry menjaringkan gol lagi.
“Dia terus meningkatkan tahap permainannya dan itu sesuatu yang luar biasa,” kata Bellingham.
Kane sebelum ini menyamai rekod Lineker apabila meledak dua gol ketika England menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi pembukaan kumpulan.
Malah, Lineker sendiri pernah menyifatkan Kane sebagai penyerang terbaik pernah dimiliki England selepas persembahan cemerlangnya dalam perlawanan itu.
Gol ke-82 Kane di pentas antarabangsa turut menyaksikannya menyamai rekod 11 gol Piala Dunia milik Jurgen Klinsmann dan Sandor Kocsis, sekali gus membuka peluang untuk terus memperbaiki kedudukannya jika England mara lebih jauh dalam kejohanan ini.
Kane pernah memenangi Kasut Emas Piala Dunia 2018 di Russia selepas menjaringkan enam gol ketika membantu England mara ke separuh akhir, termasuk hatrik ke atas Panama.
Pada edisi Qatar 2022, Kane menambah dua lagi gol, namun kegagalan menyempurnakan sepakan penalti ketika suku akhir menentang Perancis menyaksikan England tersingkir.
Lineker pula menghasilkan 10 gol dalam dua edisi Piala Dunia, termasuk enam gol ketika muncul pemenang Kasut Emas di Mexico 1986 dan empat lagi di Itali 1990.
Jaringan terbaharu Kane turut mengekalkan peluangnya untuk muncul pemain pertama memenangi Kasut Emas Piala Dunia sebanyak dua kali.
Ketika ini dia sudah mengumpul lima gol, hanya ketinggalan dua gol di belakang Lionel Messi yang mendahului senarai penjaring dengan tujuh gol, manakala Kylian Mbappe, Erling Haaland, Ousmane Dembele dan Vinicius Junior masing-masing mengumpul empat gol.
Rekod baharu itu hadir selepas Kane melalui musim luar biasa bersama Bayern Munich dengan keseluruhan 70 gol dihasilkan untuk kelab dan negara sepanjang musim ini.
Sebagai juara kumpulan, England dijadual bertemu pasukan tempat ketiga daripada Kumpulan I atau K, yang dijangka sama ada Senegal atau Republik Demokratik Congo, dalam aksi pusingan 32 terbaik di Atlanta, Khamis ini.






