CUCKOO Malaysia buat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1.09 sesaham

CUCKOO Malaysia buat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1.09 sesaham


kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia), pencipta kediaman sihat, membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) pada harga RM1.09 sesaham, di bawah nama saham CKI.

Sejumlah 6,822,100 saham didagangkan pada harga RM1.09 sesaham, dengan kod saham 5336, peningkatan kecil berbanding tawaran awam permulaan (IPO) yang disemak semula sebanyak RM1.08 seunit.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, IPO syarikat itu menandakan satu pencapaian bersejarah bagi CUCKOO Malaysia apabila disenaraikan secara rasmi di Pasaran Utama Bursa Malaysia, menjadi pencipta kediaman sihat yang diinspirasikan oleh rakyat untuk rakyat.

Katanya, syarikat percaya model perniagaan CUCKOO hari ini berada dalam keadaan yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap nilai jangka panjang serta kedudukan jenamanya jelas terserlah pada hari penyenaraian.

“Dari permulaan kami pada 2014, sehingga menjadi nama isi rumah yang dipercayai dengan ekosistem penyelesaian kesihatan menyeluruh yang semakin berkembang, segala usaha kami dipandu oleh satu matlamat utama iaitu menginspirasikan semua orang untuk menjadi #SAMASAMAHealthier.

“Penyenaraian ini bukan sahaja satu pencapaian penting, ia juga permulaan strategik baharu bagi CUCKOO Malaysia,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, di sini, hari ini.

Menurutnya, syarikat komited menyampaikan nilai jangka panjang kepada pelabur dan komuniti menerusi model perniagaan yang unik dan mampan.

“Nilai yang kami bawa kepada komuniti dan rakyat Malaysia adalah lebih penting daripada faktor luar seperti ketidaktentuan harga pasaran kerana apa yang boleh kami kawal ialah memastikan kami memenuhi janji kepada pelabur.

“Kami kini berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memacu inovasi dan memperluaskan pasaran apabila kami memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, serta memperkasa lebih ramai pengguna di Malaysia, Singapura dan Brunei ke arah kehidupan yang lebih sihat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerjasama dengan Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd baru-baru ini juga mencerminkan komitmen CUCKOO untuk membina kerjasama berimpak tinggi yang berupaya meningkatkan ekosistem produk dan memberikan nilai tambah kepada pengguna.

“Berbekalkan asas kukuh dan hala tuju strategik yang jelas, kami yakin dengan kemampuan kami untuk memacu prestasi mampan dan membuka peluang pertumbuhan baharu, terutamanya dengan sokongan pelanggan, rakan kongsi, ahli pasukan dan semua pemegang taruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CUCKOO Malaysia, Toh Seng Lee berkata, pihaknya merancang untuk membuka 10 kedai fizikal berkonsepkan ‘cash and carry’ tahun ini di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

“Kedai jenama ini akan berfungsi sebagai lokasi jualan terus tanpa pemasangan, berbeza dengan 263 kedai sedia ada yang lebih kepada demonstrasi produk,” katanya.

Dalam pada itu, CUCKOO berjaya meraih RM184.8 juta menerusi IPO dan memperuntukkan 56.7 peratus bagi pembelian produk untuk mengembangkan perniagaan sewaan.

Sebanyak 21.6 peratus akan digunakan untuk pembayaran semula pinjaman bank dan 2.7 peratus untuk pembukaan kedai jenama (Brandshops).

Manakala baki tiga peratus pula akan digunakan untuk peningkatan sistem teknologi maklumat (IT), 5.4 peratus untuk pengembangan Cuckoo International (S) Pte Ltd dan baki hasil akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top