July 27, 2024

Daftar VSP sebelum balik kampung, elak jenayah pecah rumah

Daftar VSP sebelum balik kampung, elak jenayah pecah rumah


SHAH ALAM – Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam pada Rabu ini, orang ramai dinasihatkan untuk mendaftar maklumat peribadi dan kediaman mereka menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebelum pulang ke kampung.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, aplikasi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbukti membendung jenayah curi dan pecah rumah sepanjang musim cuti perayaan.

“Kelmarin Pengarah Jabatan Siasatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti ada mengeluarkan beberapa statistik yang menyatakan semua mereka yang berdaftar dengan VSP, tiada rumah dipecah masuk dan tiada kes.

“Senada dengan itu, saya menyeru orang ramai yang balik kampung untuk tempoh panjang, meninggalkan rumah kosong dan sebagainya, gunakan aplikasi ini VSP dan daftar beri maklumat rumah yang ditinggalkan itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hussein Omar Khan beramah mesra bersama pengunjung yang hadir pada Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 & Majlis Berbuka Puasa Ketua Polis Selangor bersama Petugas-petugas PDRM & Konsesi Lebuhraya di Kawasan Rehat Elmina (Arah Utara), Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 06 APRIL 2024.

.Terdahulu beliau merasmikan kempen keselamatan jalan raya atau Ops Selamat 2024 di kawasan Rehat Elmina Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway (GCE) Arah Utara.

Beliau juga berkata, melalui VSP, polis akan melakukan rondaan secara rutin ke rumah-rumah yang berdaftar menggunakan aplikasi VSP.

“Dalam penugasan harian pencegahan jenayah oleh unit-unit barisan hadapan seperti MPV dan URB, mereka akan singgah rumah-rumah ini dalam rutin rondaan mereka.

“Mereka juga akan meninggalkan sekeping borang yang menyatakan keadaan rumah dan sebagainya.

“Ini satu pendekatan kepada orang ramai supaya rumah yang mereka tinggalkan itu terjaga atau selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top