redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kota Bharu: Biarpun bukan datang daripada keluarga senang, Indera Aria Wee Jeeny pernah mengecap kemewahan ketika bergelar ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat yang menyediakan platform bagi memesan dan menghantar makanan.
Menerusi syarikat berkenaan yang bermula Oktober 2019, Indera, 40, pernah meraih keuntungan sehingga RM6 juta malah memiliki 3,000 penghantar makanan aktif dari Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Katanya, syarikat itu masih menjadi rakan strategik di bawah naungan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) namun menanggung kerugian dipercayai selepas alamat Protokol Internet (IP) dijual seorang individu kepada pesaing demi kepentingan sendiri.
Bermula Januari 2021, keadaan semakin meruncing hingga keuntungan merosot kepada RM40,000 hingga RM80,000 saja sebelum syarikat diusahakan hampir gulung tikar.
Akibatnya, Indera terpaksa menjual pelbagai aset miliknya bagi membayar gaji pekerja yang bernaung di bawah syarikatnya.
Berkongsi kisahnya, bapa dua anak itu berkata, kehidupannya berubah 180 darjah selepas syarikat diusahakan ‘melingkup’ hingga satu tahap, dia tidak cukup wang untuk membeli makanan.
Dia berusaha bangkit semula malah sanggup mengetepikan ego dengan bermula daripada bawah walaupun pernah bergelar majikan satu ketika dulu.
“Tak mudah nak bangkit kerana waktu mula jatuh, nak beli makanan pun kena ‘korek’ duit syiling…itu belum lagi jalan kaki jauh sebab tiada kenderaan.
“Ketika itu, saya mula nampak perubahan orang sekeliling terutama yang dulunya rapat kemudian mula menjauh mungkin kerana takut saya dekat dengan mereka sebab nak pinjam duit.
“Terasa hati juga waktu itu kerana ketika senang, saya pernah tolong mereka dan ada juga persoalkan kenapa diuji sampai begitu sekali.
“Tapi itu hakikat saya kena terima dan selepas muhasabah diri, saya mula reda kemudian pujuk hati untuk belajar menerima ketentuan ilahi,” katanya kepada Harian Metro.
Selepas berdepan fasa mencabar itu, Indera mengakui ada waktunya dia hampir berputus asa untuk membangunkan semula perniagaan dan syarikat diusahakan.
Bagaimanapun, dia bersemangat semula untuk bangkit selepas teringat kata-kata seorang pekerjanya iaitu penghantar makanan yang tetap bersyukur walaupun dengan pendapatan sedikit.
“Waktu itu, dia (penghantar makanan) hanya dapat RM20 tapi gembira sangat kerana boleh belikan makanan untuk anaknya.
“Kata-kata itu jadi penyuntik semangat dan beri harapan kepada saya untuk bangkit kerana sedar perlu tolong ramai orang di luar sana,” katanya yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.
Kini, Indera bergerak sendiri dengan mencari rezeki sebagai penghantar makanan dan mengambil upah membeli barangan dengan caj antara RM5 hingga RM10.
Di samping itu, Indera turut membantu individu dalam kesusahan ditemui di tepi jalan terutama yang memerlukan pertolongan menukar bateri dan tayar kenderaan.
“Saya pernah duduk di bawah dan hilang harapan jadi tak nak orang lain rasa macam saya.
“Jadi sambil hantar makanan dipesan pelanggan, saya akan pusing sekitar kawasan dilalui kemudian bantu mereka yang memerlukan.
“Hampir setiap malam jumpa insan memerlukan dan ada satu keluarga ditemui sudah dua minggu tak makan. Saya pun tak senang tapi cuba bantu setakat yang termampu.
“Ia kerana saya teringat pesan seorang individu yang mengingatkan supaya jangan pernah biarkan hari berlalu tanpa membantu orang lain. Puas rasanya dapat tolong dan saya tak minta balasan cuma harap orang itu boleh mendoakan saya,” katanya yang mempunyai pengalaman kerja sebagai jurutera jualan, eksekutif pemasaran, pegawai pemasaran dan penajaan juga pengurus negeri.
Indera berkata, dia menganggap apa terjadi dalam hidupnya sebagai ujian dan pengalaman yang mendewasakannya.
“Tak pernah sangka akan berdepan semua itu tapi pengalaman yang dilalui akan digunakan sebagai panduan untuk masa depan.
“Saya juga berazam untuk bangkit semula sebagai usahawan berjaya kerana memberi peluang pekerjaan kerana dengannya, saya dapat bantu lebih ramai orang di luar sana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






