Di sebalik kejayaan jenama kecantikan tempatan Bartech Beautee, tersimpan kisah inspirasi seorang ibu yang mahu mengembalikan keyakinan anaknya sendiri.
Apa yang bermula daripada pengalaman peribadi kini berkembang menjadi jenama kecantikan yang semakin mendapat perhatian ramai, khususnya dalam kalangan wanita moden yang mementingkan penjagaan diri, keselamatan produk dan keyakinan diri.
Pengasas dan Pengarah Bartech Empire, Nurul Adlinna Mohammad Bakri, 39, berkata, idea menghasilkan produk kecantikan itu tercetus selepas anak sulungnya melalui pengalaman pahit ketika berpindah sekolah dari Kajang ke Rawang, Selangor.

Menurutnya, anaknya pernah dipersoalkan mengenai warna kulit oleh rakan-rakan sehingga menyebabkan remaja itu berubah menjadi pendiam dan kurang yakin dengan diri sendiri.
Keadaan itu membuatkan anaknya mula mencari pelbagai produk kecantikan di media sosial demi mendapatkan kulit yang lebih cerah.
Risau melihat perubahan emosi anaknya, Adlinna mengambil langkah bekerjasama dengan seorang ahli kimia untuk menghasilkan formulasi produk yang lebih selamat dan sesuai digunakan.
Produk tersebut pada awalnya diuji sendiri sebelum diberikan kepada anaknya, dan tidak lama kemudian mula mendapat perhatian pelajar serta guru di sekolah.

Dari situlah lahirnya Bartech Beautee, sebuah jenama yang bukan sekadar menjual produk kecantikan, tetapi membawa mesej tentang keyakinan diri dan penjagaan diri yang sihat.
“Setiap produk yang diperkenalkan telah melalui proses penyelidikan dan pemilihan bahan secara teliti bagi memastikan ia sesuai digunakan oleh pelbagai lapisan pengguna.
“Wanita hari ini bukan sahaja mencari produk kecantikan yang berkesan, tetapi juga mahu jenama yang memahami keperluan gaya hidup mereka.
“Kami mahu tampil sebagai jenama yang dekat dengan pengguna serta memberi pengalaman penjagaan diri yang lebih menyenangkan,” katanya.
Dilancarkan secara rasmi pada tahun 2023, Bartech Beautee pantas mencuri perhatian pengguna terutama di platform TikTok menerusi pendekatan pemasaran digital yang lebih dekat dengan generasi muda.

Jenama itu juga dilihat aktif memperkukuhkan pengaruh di media sosial sambil membina komuniti pengguna yang semakin berkembang, sekali gus menjadikannya antara jenama tempatan yang berpotensi besar dalam industri kecantikan negara.
Dalam usaha terus bergerak seiring perkembangan teknologi, Ketua Pegawai Eksekutif Bartech Empire, Shaharuddin Karim, 44, berkata, pihaknya bakal memperkenalkan aplikasi sistem ‘Bartech to AI’ yang membolehkan pengguna mengimbas kondisi kulit wajah secara online melalui laman web rasmi mereka.
“Sistem AI ini membantu para pelanggan mengimbas kulit tanpa perlu pergi ke pusat kecantikan.
“Selain menjimatkan masa dan kos, sistem ini juga lebih fleksibel dan efektif bagi membantu pelanggan untuk terus mendapatkan produk kami,” ujarnya.
Tambah beliau, Bartech Beautee kini dalam perancangan untuk menembusi pasaran Indonesia selain bakal menerima pengiktirafan sijil halal JAKIM dalam masa terdekat.

Kejayaan jenama itu turut dibuktikan menerusi beberapa pengiktirafan diterima termasuk Anugerah Bumiputera Bestbrands 2026 bagi kategori Consumer Cosmetics serta Anugerah The BrandLaureate Bumiputera BrandLeadership Award Beauty & Cosmetics 2026.
Daripada sebuah usaha kecil seorang ibu demi anak tersayang, Bartech Beautee kini melangkah lebih jauh sebagai jenama tempatan yang membawa inspirasi, keyakinan dan impian besar untuk bersaing di peringkat Asia.






