“Saya tak tahu bagaimana rakyat dan sejarah akan menilai saya” -Bekas MB N. Sembilan

“Saya tak tahu bagaimana rakyat dan sejarah akan menilai saya” -Bekas MB N. Sembilan

“Saya tak tahu bagaimana rakyat dan sejarah akan menilai saya” -Bekas MB N. Sembilan


Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan hati yang reda sambil menyifatkan setiap ketentuan Allah SWT pasti mempunyai hikmah yang tersendiri.

Zahir penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan

Menerusi satu kenyataan, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang keluar mengundi, selain berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan, doa, teguran dan kasih sayang sepanjang beliau memimpin negeri itu.

“Rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan. Saya menerima keputusan ini dengan hati yang reda dan penuh keinsafan. Dalam setiap ketentuan Allah SWT pasti ada hikmah yang lebih besar daripada apa yang mampu kita lihat hari ini,” ujarnya.

Banyak perkara diingati sepanjang proses berkempen

Menurut Aminuddin, sepanjang tempoh berkempen, perkara yang paling diingatinya bukanlah jumlah undi, sebaliknya wajah rakyat daripada pelbagai lapisan yang meletakkan harapan kepada kepimpinan negeri.

Beliau memaklumkan peluang memimpin Negeri Sembilan merupakan satu amanah besar yang sentiasa cuba dipikul dengan penuh keikhlasan sepanjang berada dalam pentadbiran.

“Sesungguhnya, saya berasa amat bertuah kerana diberi peluang memimpin Negeri Sembilan. Menjadi Menteri Besar bukan sekadar satu jawatan, tetapi satu amanah yang saya cuba pikul dengan seikhlas hati dan sebaik kemampuan yang Allah SWT kurniakan,” katanya.

Mohon maaf andai ada kekurangan sepanjang memegang amanah

Dalam masa sama, beliau memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang memegang amanah, selain berharap segala usaha yang dilakukan memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan.

Aminuddin turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu yang diberikan mandat oleh rakyat dan mendoakan agar mereka dipermudahkan dalam mentadbir negeri.

“Jika ada kebaikan yang dirasai, itu datang dengan izin Allah SWT dan hasil usaha bersama seluruh warga pentadbiran serta rakyat Negeri Sembilan. Jika ada kekurangan, saya memohon ampun dan maaf,”
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat maju jaya kepada kepimpinan yang telah diberikan amanah oleh rakyat. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan kebijaksanaan dalam memimpin negeri yang kita cintai ini,” katanya lagi.

Beliau menegaskan perjuangannya untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak akan terhenti dengan berakhirnya pilihan raya, sebaliknya akan terus menyumbang selagi diberikan kesempatan.

“Perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak berakhir dengan satu pilihan raya. Selagi Allah SWT mengizinkan, insya-Allah saya akan terus menyumbang dengan apa sahaja kemampuan yang ada,” ujarnya.

Sumber: Facebook Dato’ Seri Utama Hj. Aminuddin Harun





Source link

OR

Scroll to Top