Bekas ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh meninggal dunia


PETALING JAYA: Hoki negara kehilangan seorang lagi tokoh besar apabila bekas pemain dan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh meninggal dunia pada usia 63 tahun, jam 10 malam tadi.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas berdepan masalah kesihatan.

Sarjit bukan sahaja dikenang sebagai antara pemain terbaik yang pernah menyarung jersi negara, malah turut memainkan peranan penting dalam pembangunan hoki Malaysia selepas beralih ke bidang kejurulatihan.

Beliau pernah membawa cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984 dan Barcelona 1992, selain membantu negara meraih pingat gangsa Sukan Asia di New Delhi 1982 dan Beijing 1990.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang mendiang Sarjit serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi waktu sukar.

“Ucapan takziah kami yang tidak terhingga kepada keluarga dan insan tersayang, semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi waktu sukar ini.

“KHM akan sentiasa mengenang dedikasi, khidmat serta sumbangan mendiang terhadap perkembangan hoki Malaysia, sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih,” kata badan induk itu dalam kenyataan

Dalam bidang kejurulatihan, Sarjit terlebih dahulu membimbing skuad kebangsaan pada 2007 hingga 2008 sebelum kembali memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari Mac 2024 sehingga Mac 2026.

Pada tempoh terakhirnya bersama skuad kebangsaan, Sarjit membantu Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat pada kejohanan Kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir, Mac lalu. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top