Penganjur Perhimpunan Merah akan dipanggil beri keterangan


KANGAR: Polis Perlis mengesahkan menerima laporan berhubung cubaan penganjuran Perhimpunan Merah Maha Kali yang dijadualkan 30 Ogos ini, susulan perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi.

Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, buat masa ini, polis sedang menjalankan siasatan lanjut malah penganjur himpunan berkenaan juga akan dipanggil untuk memberi keterangan lanjut.

Zaihairul berkata, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak memainkan isu 3R (Raja, Agama dan Kaum) kerana boleh memecah-belahkan keamanan yang dikecapi selama ini.

“Pihak berkaitan boleh menggunakan saluran undang-undang untuk mengutarakan sebarang tuntutan dengan cara yang sah,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Pemuda UMNO Perlis membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar berhubung cubaan penganjuran himpunan yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata, pihaknya menggesa agar satu siasatan segera dapat dijalankan dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat, mencetuskan suasana tidak aman atau mengganggu ketenteraman awam.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah sebelum ini menasihati jawatankuasa rumah ibadat di sekitar negeri ini yang melakukan pembinaan secara haram agar dapat berunding terus dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu tersebut.

Katanya, tindakan perobohan Kuil Veeramakaliamman bagi menyelesaikan isu pembinaan rumah-rumah ibadat di kawasan yang tidak dibenarkan.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top