am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin berlangsung dalam tempoh tidak sampai dua bulan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, berkata ia memberi isyarat jentera parti perlu bersiap sedia menghadapi pilihan raya dalam tempoh terdekat.
“Ada sebab kenapa saya sebut dua bulan, tapi tak usahlah nak ‘explain’ (jelaskan) di sini.
“Jangan lihat 60 hari ini sebagai satu tempoh yang panjang, sebaliknya lihatlah bahawa 60 hari ini adalah tempoh penentuan kepada bentuk sebuah kerajaan yang akan mengurus tadbir negeri Melaka,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Amal PAS Melaka yang dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini malam ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata PN menegaskan komitmennya untuk turut berperanan dalam pentadbiran Melaka dengan memastikan kepentingan semua komuniti di negeri itu terus diberi perhatian dan dijaga secara adil.
“Apa jua yang berlaku di negeri Melaka ini, sama ada siapa jua yang berada di pucuk pimpinan negeri ini, kita menyatakan suatu iltizam, suatu komitmen dalam PAS dan PN untuk turut berada dan mengurus tadbir negeri Melaka ini.
“Sudah tentu kita menjelaskan hakikat kepelbagaian yang ada dan kita mengurus tadbir Melaka ini dalam konteks komuniti yang pelbagai,” katanya.
Ahmad Shamsuri berkata, keadilan dalam pentadbiran penting bagi memastikan Melaka terus berkembang sebagai sebuah negeri yang aman, makmur dan sejahtera.
© New Straits Times Press (M) Bhd
