hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 14 notis kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap premis perniagaan yang didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk penjaja warga asing di sekitar ibu kota, di sini, kelmarin.
Tindakan diambil melalui Operasi Tindakan Khas Penjaja Tanpa Lesen dan Halangan Tempat Awam Siri 9/2026 di sekitar Jalan 1/3a dan Jalan 2/3a, Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi membabitkan aktiviti penjajaan tanpa lesen dan pembabitan warga negara asing serta premis buat halangan tred perniagaan di kaki lima, siar kaki, atas jalan, petak letak kenderaan dan laluan awam.
Katanya, pemeriksaan membabitkan perniagaan barangan borong, pasar raya dan kedai runcit.
“DBKL mengeluarkan 14 notis kompaun ke atas aktiviti dan premis perniagaan yang didapati melanggar syarat lesen yang dikeluarkan dengan melantik (menggajikan) pembantu warga asing tanpa kebenaran.
“Selain itu, tiada lesen perniagaan, premis membuat halangan di kaki lima atau siar kaki tempat awam dan lain-lain kesalahan am.
“Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 membabitkan sembilan notis dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (lima notis),” katanya dalam perkongsian di Facebook.
DBKL turut melakukan 26 tindakan sita dan pindah barangan serta peralatan perniagaan dijalankan oleh penjaja warga asing dan premis perniagaan yang membuat halangan dengan meletakkan pelbagai barangan perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran.
“Semua barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sita DBKL untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






