Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) selepas diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan baharu Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Anwar turut memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada pentadbiran negeri yang baharu bagi memastikan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi yang menunaikan tanggungjawab dalam proses demokrasi, selain berterima kasih kepada rakyat Negeri Sembilan yang memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Aminuddin Harun menerajui negeri itu selama lapan tahun.
“Penghargaan juga kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar selama lapan tahun.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh tersebut, PH telah meninggalkan legasi pentadbiran yang cemerlang berteraskan tatakelola baik, kestabilan serta pembangunan yang memanfaatkan rakyat,” katanya.

Artikel lain: Insya-Allah, gelombang biru pekat BN-PN akan terus menular di PRN Melaka – Zahid Hamidi
Beliau berharap legasi pentadbiran yang dibina sepanjang tempoh itu dapat terus diperkukuhkan demi memastikan kemajuan Negeri Sembilan berterusan.
“Kerajaan Persekutuan akan terus memberi dukungan dan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu demi kesejahteraan serta kemakmuran negeri dan rakyat keseluruhannya,” katanya lagi.
Sumber: FB Anwar Ibrahim






