Dedah atau tidak laporan RCI Tabung Haji, kerajaan tetap akan dikritik -Nurul Izzah

Dedah atau tidak laporan RCI Tabung Haji, kerajaan tetap akan dikritik -Nurul Izzah


Kerajaan akan tetap berdepan kritikan sama ada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan sebelum atau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Paling penting laporan didedahkan secara telus

Memetik laporan daripada Bernama, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan perkara yang lebih penting adalah memastikan laporan tersebut didedahkan secara telus supaya rakyat dapat menilai sendiri kandungannya.

Menurut beliau, pendedahan laporan itu juga penting bagi memastikan Tabung Haji terus dipelihara pada masa hadapan serta membolehkan umat Islam terus menikmati kemudahan untuk menunaikan ibadah haji.

“Ini penting untuk kita memastikan Tabung Haji terus dipelihara pada masa hadapan dan kita mahu setiap umat Islam mampu melaksanakan ibadah haji.
“Pada saya buat tak buat (dedah laporan RCI) kita akan diserang juga. Yang penting ialah ketelusan dan keberanian untuk mendedahkannya. Kini, kita terus ke depan menuju hari pengundian,” katanya.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah turut menggesa pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada PRN Negeri Sembilan dan terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, keputusan pilihan raya itu akhirnya bergantung kepada rakyat yang akan menentukan hala tuju negeri berkenaan.

“Saya berharap pengundi keluar mengundi dan mengekalkan Pakatan Harapan. Saya merayu bagilah peluang kepada Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) meneruskan agenda pembangunan di Negeri Sembilan,” katanya.

Sabtu ini, seramai 867,151 pemilih biasa akan mengundi bagi memilih wakil rakyat baharu melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan 103 calon bertanding mewakili pelbagai parti politik serta calon Bebas.

Sumber: Bernama 





Source link

OR

Scroll to Top