Glasgow: Atlet rejam lembing Sri Lanka, Rumesh Tharanga Pathirage mengakui dapat merasakan lontarannya bakal mencipta sesuatu yang istimewa pada Kejohanan Liga Berlian Rome 2026, Jun lalu.
Pemenang berusia 23 tahun itu mencatat lontaran sejauh 92.62 meter (m), sekali gus menjadi rekod terbaik dunia musim ini dan lontaran kedua terbaik dalam sejarah Asia.
“Sebaik sahaja saya melepaskan lembing, saya merasakan ia mampu menjadi rekod Asia. Walaupun tidak, lontaran itu tetap sangat jauh.
“Saya benar-benar gembira dari lubuk hati,” katanya kepada Olympics.com.
Catatan hebat itu hanya dibezakan 35 sentimeter daripada rekod Asia milik juara Olimpik Paris 2024 dari Pakistan, Arshad Nadeem yang melakukan rejaman sejauh 92.97m.
Kejayaan Pathirage turut memecahkan rekod kejohanan yang bertahan selama 20 tahun, selain menjadikannya atlet pertama Sri Lanka dan hanya atlet keempat dari Asia yang berjaya melepasi jarak 90 meter.
Pencapaian itu sekali lagi membuktikan dominasi atlet Asia Selatan dalam acara rejam lembing selepas kemunculan jaguh India, Neeraj Chopra dan Arshad Nadeem.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Kalutara itu percaya dia sebenarnya mampu melakukan rejaman yang lebih jauh pada hari bersejarah itu.
“Apabila melihat semula dari arah balingan, saya sedar lontaran itu tidak benar-benar lurus, sebaliknya sedikit melengkung.
“Jika lembing itu bergerak lurus, saya percaya ia mampu mencecah 95 atau 96 meter,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






