PETALING JAYA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengukuhkan tadbir urus sosioekonomi dan kebajikan warganya menerusi penyambungan pelantikan sebagai Mutawalli Wakaf serta pelantikan rasmi sebagai Ejen Zakat Wilayah Persekutuan.
Langkah itu dijayakan menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) dalam pemeteraian memorandum perjanjian (MOA) di kampus UPNM.
Kerjasama tersebut membolehkan UPNM mengurus, mentadbir dan mengagihkan dana wakaf serta mengutip zakat secara terus bagi mempermudah urusan warga kampus dan masyarakat setempat.
Langkah strategik itu bertujuan memastikan tiada mahasiswa daripada golongan asnaf dan B40 di UPNM yang terpinggir atau keciciran daripada arus pendidikan disebabkan oleh masalah kewangan.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, menggalas tanggungjawab sebagai Mutawalli dan Ejen Zakat merupakan amanah besar yang menuntut integriti serta tadbir urus yang cekap dan berketelusan tinggi.
“Amanah yang disambung sebagai Mutawalli Wakaf serta keyakinan yang diberi sebagai Ejen Zakat ini memarakkan lagi tekad universiti untuk memacu usaha kebajikan bersama MAIWP,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, pihak universiti berikrar untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan kutipan dan agihan zakat bagi memastikan setiap ringgit yang disalurkan menjadi instrumen strategik dalam mentransformasi sosioekonomi masyarakat serta membina jambatan peluang pendidikan buat para pelajar.
Sinergi erat itu juga dijangka bakal diperluaskan ke arah memperkasakan bidang penyelidikan, melestarikan pembangunan komuniti serta memartabatkan taraf hidup golongan asnaf secara holistik.
Majlis penyempurnaan perjanjian tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Osman dan Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf dan Zakat UPNM, Prof. Dr. Sayuti Ab.Ghani. – UTUSAN






