Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida tidak menafikan usikan manja anak perempuannya, Cik B menjadi punca tercetusnya gosip cinta antaranya dengan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob baru-baru ini.
Cik B yang mulakan guruan manja
Memetik laporan daripada Kosmo! Vida atau nama penuhnya Hasmiza Othman berkata, perkara tersebut mungkin terjadi selepas Cik B melihat cara Fazley menjaga anak-anaknya sejak mereka menyertai program Talk To My Manager 2 (TTMM2).
“Sebenarnya Cik B yang mulakan dulu. Dia bersama anak sulung Fazley iaitu Fariedz Fazley selama beberapa minggu dan melihat sendiri sikap penyanyi itu terhadap anak-anaknya.
“Mungkin Cik B bergurau manja dan mesra mengenai perkara itu.
“Saya tidak boleh nak komen apa-apa. Kawan atau sebaliknya, kita tengok sahajalah. ‘Go with the flow’” katanya.

Terkejut Cik B restu
Dalam masa sama, Vida mengakui terkejut apabila Cik B merestui sekiranya dia menjalin hubungan istimewa dengan Fazley kerana sebelum ini anaknya itu sering menolak mana-mana lelaki yang digosipkan dengannya.
“Saya tak tahu tentang hal ini namun Cik B kata dia sudah beri lampu hijau. Saya pun hairan juga dengan dia, macam ‘matchmaker’ pula.
“Sebelum ini semua (lelaki) dia tolak, sebab itu saya takut juga, Cik B ini mulut masin,” katanya lagi.
Jumpa Datuk Fazley atas urusan kerja
Mengulas dakwaan Fazley kerap bertemu dengannya sejak kebelakangan ini, Vida menjelaskan pertemuan mereka adalah atas urusan kerja semata-mata.
Kongsinya, Fazley baru sahaja dilantik sebagai cef eksekutif bagi kedai kopi miliknya di Brunei dan bertanggungjawab menghasilkan pelbagai resipi baharu.
“Saya lantik dia sebagai cef eksekutif untuk kedai kopi di Brunei.
“Sudah hampir dua bulan Fazley menghasilkan pelbagai resipi termasuk burger, pizza dan biskut. Maka sebab itu dia kerap ke rumah untuk menguji menu yang dihasilkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Fazley dan Vida didakwa sedang bercinta selepas beberapa video memaparkan keakraban mereka tular di media sosial susulan penyertaan dalam TTMM2.
Malah, Cik B atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin sebelum ini turut menyatakan sokongan sekiranya ibunya menjalinkan hubungan istimewa dengan Fazley dan percaya penyanyi itu mampu menjadi figura bapa yang baik buat dirinya.
Walau bagaimanapun, Fazley menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa dia mempunyai hubungan baik dengan semua peserta program TTMM2.
Sumber: Kosmo Online (Nur Emira Saizali)





