Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diingatkan supaya bertindak lebih proaktif dalam menilai semula liputan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa perlu menunggu aduan atau isu menjadi tular di media sosial.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu penting bagi memastikan keterhubungan akses pengangkutan awam milik kerajaan negeri dapat dipertingkatkan termasuk di kawasan yang masih kurang mendapat liputan perkhidmatan.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia membelanjakan lebih banyak peruntukan bagi memastikan kemudahan pengangkutan awam yang lebih efisien demi keselesaan dan kepuasan rakyat.
“PBT perlu proaktif untuk menangani hal ini dan bukan tunggu laporan di X, Threads atau media sosial yang lain.
“Sebaliknya mendengar pandangan rakan-rakan ahli majlis dan semua pihak agar kita dapat menyusun connectivity first mile last mile (dengan lebih efisien),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPPDTS) Fasa 1 dan 2 pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15 di Shah Alam, hari ini.
Artikel lain: GSF 2.0: MB Selangor dedah sepatutnya ikut perjalanan akhir, tapi bot telah disabotaj
Terdahulu, Amirudin menjawab celahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid yang membangkitkan isu keterhubungan pengangkutan awam, khususnya melibatkan projek LRT3 dan kawasan sekitarnya yang tular di media sosial.
Sehubungan itu, beliau turut mengarahkan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han supaya berhubung dengan semua pengendali pengangkutan awam di negeri ini bagi mengenal pasti kawasan yang masih belum menerima liputan perkhidmatan secara menyeluruh.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih bersepadu serta memudahkan pergerakan rakyat di seluruh Selangor.
Sumber: Kosmo! Online (Mohamad Naufal Mohamad Idris)






