KESATUAN umat Islam adalah perkara yang sangat penting daripada yang terpenting, perselisihan mengundang kelemahan yang merugikan semua pihak samada yang menang atau kalah yang lemah atau kuat yang majoriti atau minoriti.
Namun oleh kerana jalan kebenaran harus ditegakkan maka setiap insan itu mesti berani berkata benar dan memilih kebenaran. Hadis Nabi SAW:
مَنِ التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ
“Barangsiapa yang mencari redha Allah S.W.T sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan segala-segala untuknya, kebergantungan nasibnya bukan kepada manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkan ketentuan nasibnya kepada manusia.” [Riwayat al-Tirmizi (2414)]
Maka kita memohon kepada Allah untuk memberi petunjuk dan hidayah agar berada dipihak benar agar dijauhi daripada sifat playsafe sehingga kebenaran disembunyikan akibat sikap apologetics dengan pelbagai faktor kepentingan.
Betapa hal wehdah dan kesatuan dipihak yang benar dan bersama kebenaran ini penting sehinggakan Rasulullah SAW mengajar kita doa iftitah ketika solat Tahajjud diubah daripada solat biasa.
Dari Abu Salamah bin Abdurrahman bin Auf ia berkata, saya bertanya kepada Aisyah (Ummul mukminin), “Do’a iftitah apakah yang dibaca Nabi SAW ketika membuka solat malamnya?” Aisyah menjawab, “Apabila Rasulullah SAW solat malam, beliau membaca doa iftitah sebagai berikut:
اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْب وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Yang ertinya: “Ya Allah Tuhan Jibril, Mikal, dan Israfil; Maha Pencipta langit dan bumi, Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah hakim di antara hamba-hamba-Mu tentang apa yang mereka perselisihkan, tunjukilah aku jalan keluar yang benar dari perselisihan mereka, sesungguhnya Engkau Maha pemberi petunjuk kepada jalan yang lurus, bagi siapa yang Engkau kehendaki).” (HR Muslim)
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 13/7/2024