Mahkamah TInggi Singapura benarkan permohonan entiti dikaitkan 1MDB

Mahkamah TInggi Singapura benarkan permohonan entiti dikaitkan 1MDB

Mahkamah TInggi Singapura benarkan permohonan entiti dikaitkan 1MDB


fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan permohonan terhadap beberapa entiti diperbadankan di Virgin British Island (BVI) yang didakwa ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Angela Barkhouse dan Toni Shukla daripada Kroll Limited selaku wakil asing serta penyelesai bersama bagi entiti terbabit.

Barkhouse dan Shukla memaklumkan, keputusan mahkamah dibuat selepas Mahkamah Tinggi Singapura sebelum ini menolak cubaan BSI Bank dan Standard Chartered untuk campur tangan dalam permohonan penggulungan syarikat berkenaan.

“Kami berpuas hati apabila permohonan ini dibenarkan Mahkamah Tinggi Singapura. Keputusan itu menyusuli keputusan terdahulu Mahkamah Tinggi Singapura yang menolak cubaan BSI Bank dan Standard Chartered untuk campur tangan dalam permohonan penggulungan syarikat, atas alasan kedua-dua bank itu tidak mempunyai kedudukan dari segi undang-undang, selain diarahkan membayar kos.

“Ini adalah satu perkembangan positif dalam usaha memastikan institusi kewangan dan individu dipertanggungjawabkan atas peranan mereka dalam penipuan berskala besar membabitkan 1MDB.

“Keputusan terbaru Mahkamah Singapura akan membolehkan penyelesai yang dilantik mahkamah mengambil tindakan sepenuhnya terhadap pihak yang memudahkan perbuatan penipuan ke atas syarikat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan perintah penggulungan itu, pihak penyelesai memaklumkan tuntutan statutori berkaitan terhadap SCB Singapura dan BSI Singapura akan difailkan dalam masa terdekat.

Mengenai tuntutan statutori, Barkhouse dan Shukla berkata, ia akan diteruskan bersama tuntutan lain yang sedang berjalan terhadap bank terbabit, termasuk dakwaan membantu secara tidak jujur, pelanggaran tanggungjawab bank untuk melaksanakan tahap kemahiran dan penjagaan munasabah.

Ia termasuk kemungkinan berlaku pelanggaran mandat perbankan oleh pihak berkenaan, berkaitan syarikat yang kini memasuki proses penyelesaian di Singapura.

“Matlamat utama tindakan ini adalah untuk mendapatkan semula aset daripada individu dan institusi yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan dana syarikat, yang asalnya diperuntukkan bagi manfaat rakyat Malaysia tetapi diselewengkan,” katanya penyelesai terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top