Dua petugas media Al Jazeera terbunuh di Gaza

Dua petugas media Al Jazeera terbunuh di Gaza


Gaza: Dua petugas media televisyen Qatar, Al Jazeera, terbunuh dalam serangan udara Israel di sini, pada Rabu.

Agensi Anadolu melaporkan penyiar yang berpangkalan di Doha itu menyatakan bahawa wartawan Ismail al-Ghoul dan jurukameranya, Rami al-Rifi, terkorban dalam serangan yang menyasarkan sebuah kereta berhampiran kawasan Aidia di barat itu.

Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, kematian baharu ini menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza mencecah 165 orang sejak 7 Oktober 2023, katanya.

Dalam satu kenyataan, pejabat media itu menyeru masyarakat antarabangsa dan organisasi media “untuk menghalang pendudukan (Israel) dan mendakwa mereka di mahkamah antarabangsa atas jenayah berterusan mereka, dan mendesak mereka menghentikan jenayah genosid serta menghentikan pembunuhan wartawan Palestin.”

Sekurang-kurangnya 39,445 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 91,000 cedera dalam serangan kejam berterusan Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top