July 16, 2024

Dunia juga tidak boleh lupakan penderitaan Rohingya

Dunia juga tidak boleh lupakan penderitaan Rohingya


KUALA LUMPUR – Di sebalikk kebimbangan berhubung tindakan genosid yang sedang berlaku di Palestin oleh rejim Zionis ketika ini, dunia juga seharusnya tidak melupakan penderitaan yang ditanggung etnik Rohingya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ramai etnik itu telah terbunuh di laut ketika mereka cuba mencari perlindungan di negara lain yang lebih selamat.

Jelas beliau, Malaysia telah menyediakan perlindungan kepada ramai pelarian etnik Rohingya dan negara-negara lain juga sepatutnya turut membantu pelarian etnik tersebut.

“Mereka juga sepatutnya boleh diterima (ditempatkan) di beberapa negara lain,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Bagaimanapun, lebih daripada itu, tambah Dr. Mahathir, Kerajaan Myanmar dirayu untuk membenarkan etnik Rohingya pulang ke kampung halaman mereka di negara berkenaan.

Sudah semestinya, tegas beliau, etnik itu perlu diterima dan dilayani oleh kerajaan Myanmar sama seperti warga yang lain.

Jelasnya, etnik Muslim Rohingya itu sudah lama tinggal di wilayah Myanmar dan tidak pernah mengancam atau melakukan sesuatu yang buruk terhadap etnik agama lain di negara tersebut.

Katanya, etnik Rohingya juga tidak pernah menentang kerajaan Myanmar atau menuntut kebebasan di negara itu seperti etnik-etnik lain.

“Namun, kampung dan bandar mereka diserang oleh tentera Myanmar, mereka dibunuh dan rumah-rumah mereka dibakar. Mereka juga telah diusir ke negara jiran, Bangladesh.

“Penderitaan yang ditanggung oleh migran Rohingya ini sangat dahsyat. Golongan tua dan mereka yang sakit ramai yang tidak mampu bertahan, dan mereka juga terpaksa mengangkut segala harta benda bersama mereka,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, pelarian Rohingya pada akhirnya terpaksa membina pondok untuk berlindung sepanjang pelarian mereka tanpa adanya bekalan asas seperti air dan elektrik.

Jelasnya, dalam sesetengah situasi, pondok yang dibina mereka terbakar atau musnah disebabkan banjir dan ramai daripada mereka jatuh sakit tanpa adanya hospital (untuk menerima rawatan).

“Mengapa terdapat bangsa yang sanggup memperlakukan bangsanya sendiri sedemikian rupa?

“Bukankah lebih baik sekiranya tentera Myanmar menerima etnik Rohingya seperti warga lain negara itu yang berhak untuk mendapat layanan sewajarnya?” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top