PETALING JAYA: Empat sekeluarga maut termasuk tiga individu disyaki dibunuh dalam satu kejadian di sebuah kondominium di Desa Parkcity, Persiaran Residen Kepong, hari ini.
Sebelum itu, polis menerima satu laporan berhubung seorang lelaki berusia 48 tahun terjatuh dari sebuah kediaman di kondominium itu yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.32 petang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis kemudian ke lokasi rumah mangsa dan membuka pintu unit berkenaan dengan bantuan bomba serta menemukan tiga individu meninggal dunia di bilik berasingan.
Katanya, mangsa pertama merupakan wanita berumur 47 tahun dan yang juga isteri lelaki terbabit.
“Turut ditemukan maut dua kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berumur 9 dan 7 tahun iaitu anak kepada pasangan tersebut.
“Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher,”katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambahnya, pihak polis turut menemukan sebilah pisau dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN
