SIRI 3
am@hmetro.com.my
SEBAGAI pelakon popular, Farid Kamil tidak terlepas dilanda kontroversi sepanjang lebih dua dekad terbabit dalam bidang lakonan, sekali gus harga yang perlu dibayar sebagai anak seni.
Menurut pemilik nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 44, setiap yang terjadi dalam hidupnya sudah tertulis dan ketentuan Tuhan serta membuka mata untuk mengenali dirinya yang sebenar.
“Sebagai pelakon yang juga memegang status bapa kepada dua anak dan pelajar, saya perlukan keseimbangan diri dan buat pertimbangan dalam banyak perkara.
“Macam mana saya nak jaga nama baik dan betulkan kontroversi yang tercipta? Saya tak harap bantuan orang, cuma saya rasa kenapa tekanan itu terjadi pada saya?
“Selepas itu, barulah saya faham kerana itulah pengaruh yang saya bawakan dan boleh menjerumus pada perkara sebegitu. Bagi saya ia ada kaitan dengan politik, realiti populariti, dunia mistik dan ‘character assassination’ (pembunuhan karakter),” katanya.
Kata Farid, dia melihat kontroversi melanda hidupnya itu ada hikmah di sebaliknya.
Pada mulanya, katanya, dia menganggap kerjaya seninya sudah berakhir apabila insiden dirinya ditangkap dan dipenjarakan pada 2019.
Namun, tawaran watak utama dalam filem biopik ‘Anwar : The Untold Story’ menggubah segalanya sekali gus transisi dan peningkatan dalam karier lakonannya.
Filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi yang ditayangkan pada 2023 itu mengangkat kisah perjuangan politik, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebagai pelakon yang bermula dari filem Lagenda Budak Setan sehinggalah insiden yang berlaku pada 2019 (dipenjarakan) itu yang membuatkan saya berfikir kerjaya seni sudah pun berakhir ketika itu.
“Tapi bila ditawarkan watak dalam filem biopik itu, saya anggap sudah sampai masanya untuk saya pegang watak dalam filem biopik yang juga transformasi dari filem komersil.
“Saya ditawarkan watak itu dengan alasan apa yang saya lalui ada persamaan dengan pemimpin berkenaan,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata Farid, dia menerima tawaran untuk melakonkan watak utama dalam filem ‘Anwar: The Untold Story’ bukan disebabkan wang dan populariti, sebaliknya kemampuan yang diberikan.
“Jawapan pertama bila saya berjumpa dengan pemimpin (Anwar) itu, beliau beritahu, ‘Saya pun tahu kisah awak’. Ia bermaksud itu adalah kepercayaan yang paling tinggi yang diletakkan pada seseorang.
“Untuk filem ini, saya perlu lakonkan apa yang dialaminya. Saya juga ada persamaan dengan wataknya di mana beliau dipukul dalam lokap dan saya pun dipukul juga,” katanya.
Pada masa sama, kata Farid, dia juga merancang menghasilkan filem berkaitan kisah hidupnya yang tidak pernah diceritakan kepada umum.
“Beliau (Anwar) juga gembira dengan hasil lakonan saya dalam filem itu bila saya berjumpa dengannya. Beliau ada dokumentasi lapan kali kena pukul, macam saya tiada dokumentasi kena pukul di penjara dan sebagainya.
“Jadi, saya mahu hasilkan filem ‘Untold Story’ Farid Kamil pula. Saya juga sudah menghasilkan skrip dan bakal berkolaborasi bersama produksi Indonesia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





