Fattah syukur imej sopan Amira jadi inspirasi

Fattah syukur imej sopan Amira jadi inspirasi


puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penampilan sopan penyanyi, Amira Othman yang sering menggayakan abaya bukan sahaja mencuri tumpuan peminat, malah turut mendapat pujian dalam kalangan suami yang menyifatkan imej terbabit wajar dijadikan contoh oleh golongan isteri.

Suaminya yang juga pelakon, Fattah Amin, 36, mengakui dia menyedari maklum balas positif itu dan menyuarakan rasa bersyukur apabila kehadiran mereka sebagai anak seni mampu memberikan impak yang baik kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, saya ada ternampak juga komen-komen sebegitu. Bagi saya, apabila kita sebagai selebriti boleh menjadi contoh teladan yang baik kepada peminat dan orang luar, sudah tentu rasa bersyukur.

“Pada masa sama, rasa tidak sangka juga sebenarnya bila ada yang menjadikan ia sebagai inspirasi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara itu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 33, berkata dia hanya menjadi diri sendiri, namun pada masa sama berasa bimbang jika pujian yang diterima akan memakan diri pada masa depan.

“Apabila dapat inspirasi daripada orang luar, itu satu rahmat. Tapi saya tidak mahu cakap lebih-lebih. Mungkin hari ini orang suka, esok lusa kalau saya ada tersilap, takut menjadi perkara yang tidak disukai pula.

“Saya tak mahu terlalu bangga dengan pujian kerana saya takut dengan apa yang akan jadi pada masa akan datang.

“Saya yakin semua orang mahu jadi baik dan berpakaian baik, tetapi setiap daripada kita ada ujian masing-masing,” katanya.

Pelantun lagu Hati-Hati ini berkata, dia mengharapkan doa orang ramai agar dirinya terus istiqamah dan kekal dengan imej yang disenangi itu.

“Apa yang baik kita aminkan. Doakanlah saya dan Fattah selalu,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top