Fedtri Yahya demam terkejut raih lima pencalonan ASA 2024

Fedtri Yahya demam terkejut raih lima pencalonan ASA 2024


KUALA LUMPUR : Pengacara dan penulis lirik, Fedtri Yahya, mengakui tidak menyangka menerima lima pencalonan di Anugerah Seri Angkasa 2024 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini.

Menurut Fedtri, lima pencalonan tersebut adalah menerusi kategori Bicarawara TV Terbaik, Montaj TV Terbaik, Pengacara TV Terbaik (dua pencalonan) dan Pengulas TV Terbaik.

“Saya tidak menyangka tercalon dalam 4 kategori serentak pada tahun ini, apatah lagi pada usia yang semakin meningkat. Semestinya saya sangat teruja dan berdebar kerana ini juga merupakan pencalonan yang terbanyak buat saya.

“Sewaktu mendapat tahu tercalon dalam keempat-empat kategori ini, malam itu saya demam akibat terkejut. Saya kira ini adalah demam kegembiraan. Jadi harapan saya hanyalah untuk tersenarai dalam top lima sahaja dan itu pastinya sudah memadai,”katanya.

Selain itu, Fedtri juga menyifatkan pencalonan ini sebagai motivasi untuk terus memperbaiki mutu karyanya.

Ia termasuk dalam merealisasikan impiannya untuk memiliki program podcastnya sendiri agar berpeluang mengekspresikan idea dan kreativitinya dengan lebih bebas, seiring dengan kehendak semasa.

Sementara itu, dalam perjalanan kerjayanya, Fedtri juga mengakui pernah berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk ketika kehilangan suara selama sebulan semasa mengacarakan Jejak Rasul pada tahun 2022.

“Waktu itu, saya takut sebenarnya sebab kehilangan suara bercampur pula dengan cuaca yang panas. Namun, saya bersyukur kerana penat dan lelah saya waktu itu ditukarkan dengan kegembiraan apabila rating bagi program Jejak Rasul melonjak naik kerana waktu itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

“Sehinggakan saya pergi ke bazaar ramadhan pun ada anak-anak kecil menegur saya dan memberikan kata-kata semangat terhadap saya. Kenangan ini akan saya simpan selamanya,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penerimaan Anugerah Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Ipoh, baru-baru ini, Fedtri berkata, ia merupakan kemuncak kecintaannya yang mendalam terhadap dunia bahasa, yang sudah bermula sejak kecil.

“Saya memang seorang yang gila bahasa. Sebelum darjah satu lagi saya dah minat dengan bahasa walaupun waktu itu saya tidak begitu faham dengan bahasa sangat tetapi dek obses dengan bahasa, setiap kali saya mendengar radio atau television, saya akan salin beberapa perkataan yang saya rasa unik dan cuba untuk mencari maksud disebalik perkataan tersebut.

“Jadi lama-kelamaan apabila menyertai beberapa pertandingan dan mendapat markah yang cemerlang dalam bahasa Melayu, di situ bermulanya titik indah percintaan saya dalam bahasa,”katanya.





Source link

OR

Scroll to Top