September 8, 2024

FIB siasat KL City berhubung tunggakan KWSP

FIB siasat KL City berhubung tunggakan KWSP


KUALA LUMPUR – Badan bebas, First Istance Body (FIB) mengesahkan pihaknya akan memulakan siasatan selepas lesen KL City FC yang dipersoalkan Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn. Bhd. Syed Yazid Syed Omar.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, mereka memberikan lesen kebangsaan kepada KL City FC berdasarkan dokumen diberikan namun dakwaan dilontarkan Syed Yazid menyebabkan siasatan perlu dijalankan.

“FIB menerima surat deklarasi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dihantar oleh KL City FC bertarikh 28 Ogos 2023 yang menyatakan tiada tunggakan bayaran setakat 30 Jun 2023 berserta dengan surat lampiran.

“FIB sudah menerima surat deklarasi daripada KWSP yang dihantar oleh KL City FC bertarikh 29 Mac 2024 yang menyatakan tiada tunggakan bayaran setakat 31 Disember 2023 berserta dengan surat lampiran.

“Bagaimanapun dengan percanggahan maklumat yang dinyatakan oleh pihak pengurusan kelab itu sendiri berkaitan dengan kesahihan dokumen yang dikemukakan kepada FIB, maka FIB kini akan memulakan siasatan ke atas perkara ini dengan serta merta,” katanya dalam satu kenyatan di sini.

Sebelum ini, media melaporkan Syed Yazid Syed Omar mahu melihat sendiri dokumen diberikan KL City FC kepada FIB yang memberikan lesen kebangsaan kepada pasukan itu untuk beraksi di Liga Super 2024/25.

Ini kerana Syed Yazid hairan bagaimana pasukan itu yang berdepan isu kewangan agak serius dibenarkan untuk bertanding selepas bukan sahaja berdepan tunggakan gaji malah pasukan itu tidak mencarum KWSP sejak Februari 2023.

Justeru dia mahu meminta penjelasan daripada FIB mengenai isu pelesenan pasukan itu memandangkan tunggakan KWSP pada bulan Februari 2023 itu berlaku ketika saingan liga musim lalu sedang berjalan.

“Kita tahu kewangan kita sangat tidak sihat jadi memang kita boleh cakap yang kewangan kita tidak stabil. Jadi pada pandangan saya, kita memang sukar untuk beraksi di Liga Super dengan hutang yang banyak.

“Bukan sahaja pembayaran gaji, KSWP dan ada lagi bayaran lain seperti pengangkutan, stadium, makan dan minum, hotel jadi sebab itulah saya rasa memang sukar untuk kita bermain di Liga Super.

“Tetapi saya tidak tahu bagaimana FIB boleh memberikan lesen kepada KL City FC, jadi sebab itulah saya nak tengok sendiri dokumen yang dihantar KL City FC kepada FIB dan meminta penjelasan daripada mereka berhubung isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top