Los Angeles: Kekalahan mengejut Kanada dan Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 memberi kesan besar terhadap pasaran tiket apabila harga bagi beberapa perlawanan pusingan 32 terbaik merosot secara mendadak.
Kedua-dua keputusan itu mencetuskan kesan domino dalam pasaran tiket, khususnya bagi aksi di Los Angeles dan Vancouver yang sebelum ini mencatat lonjakan harga tinggi ketika kedua-dua pasukan masih berpeluang menjadi juara kumpulan.
Korea Selatan yang dikejutkan Afrika Selatan sekali gus menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan A, terpaksa melupakan peluang beraksi di Los Angeles seperti yang dijangka awal jika mereka menamatkan saingan di dua tempat teratas.
Sebaliknya, slot berkenaan kini menjadi milik Afrika Selatan.
Pada masa sama, Kanada yang tewas kepada Switzerland menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan B dan akan beraksi di Los Angeles menentang Afrika Selatan dalam pusingan 32 terbaik, bukannya di Vancouver seperti yang diharapkan jika mereka muncul juara kumpulan.
Laman penjejakan tiket, TicketData.com memaklumkan harga tiket permulaan (get-in price) bagi perlawanan pusingan 32 di Los Angeles dan Vancouver masing-masing jatuh lebih 40 peratus dalam tempoh beberapa jam selepas keputusan perlawanan diumumkan.
Perlawanan Afrika Selatan menentang Kanada di Los Angeles mencatat kejatuhan ketara apabila harga tiket kini sekitar AS$683 (kira-kira RM3,000), merosot 58 peratus dalam tempoh tiga hari.
Sementara itu, harga tiket bagi satu lagi perlawanan di Vancouver yang belum menentukan lawan turut jatuh kepada AS$560, iaitu penurunan sekitar 65 peratus dalam tempoh sama.
Situasi itu jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini apabila kemenangan Kanada dalam peringkat kumpulan mencetuskan lonjakan harga.
Secara keseluruhan, laporan TicketData.com menunjukkan purata perubahan harga tiket dalam tempoh tujuh hari meningkat 23 peratus.
Namun bagi baki 50 perlawanan yang masih akan berlangsung, harga purata tiket dilaporkan menurun sekitar 5 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd






