Neto sedia beraksi di mana-mana posisi

Neto sedia beraksi di mana-mana posisi


Palm Beach Gardens: Bintang sayap Portugal, Pedro Neto, tidak kisah di posisi mana dia diturunkan, namun berharap dapat mempamerkan aksi terbaiknya di pentas Piala Dunia apabila Portugal berdepan Colombia dalam aksi penentuan Kumpulan K di Miami, awal pagi Ahad ini.

Pemain sayap Chelsea itu beraksi selama 72 minit di bahagian kiri serangan ketika Portugal seri 1-1 dengan DR Congo dalam perlawanan pembukaan sebelum bermain di sayap kanan pada separuh masa pertama ketika membelasah Uzbekistan 5-0.

“Sejujurnya, saya lebih selesa di sebelah kanan tetapi sepanjang karier saya sebenarnya lebih banyak bermain di sebelah kiri.

“Tetapi di mana-mana posisi pun saya selesa. Saya mahu membantu pasukan, saya mahu berada pada tahap terbaik dan itu sentiasa menjadi fokus saya.

“Saya harap saya benar-benar dapat meledak (menentang Colombia). Saya berada di sini untuk membantu dan saya harap inilah saatnya, lebih-lebih lagi kerana ia perlawanan penting untuk kami menamatkan saingan sebagai juara kumpulan,” katanya kepada wartawan.

Prestasi cemerlang Portugal ketika menewaskan Uzbekistan dilihat sebagai respons terhadap kritikan yang diterima selepas gagal mengatasi DR Congo dan Neto mengakui perkara itu namun menegaskan ia lebih didorong oleh keazaman berbanding kemarahan.

“Kami mempunyai mentaliti kemenangan yang sangat tinggi dan sudah tentu selepas perlawanan pertama kami sedikit kecewa.

“Tanpa ragu-ragu, kritikan adalah sebahagian daripada bola sepak. Kami perlu tahu bagaimana untuk menghadapinya dan dalam perlawanan kedua kami menjadikannya sebagai motivasi untuk memberikan yang terbaik.”

Neto percaya kemenangan besar ke atas Uzbekistan yang menyaksikan kapten Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol mengembalikan status Portugal sebagai pencabar serius kejuaraan.

Colombia kini mendahului Portugal dengan kelebihan dua mata dalam kedudukan kumpulan dan walaupun kedua-dua pasukan akan mara dengan keputusan seri, Neto menjangkakan perlawanan yang sengit bagi menentukan siapa muncul juara kumpulan.

“Ia sentiasa menjadi perlawanan yang begitu sengit. Secara peribadi, saya sangat menyukai perlawanan seperti itu.

“Saya fikir orang ramai menjangkakan aksi yang hebat serta tontonan yang menarik. Itulah yang akan kami cuba berikan.”

Diperkenalkan pada sidang media sebagai ‘pemain paling kacak di Piala Dunia’, Neto turut ditanya mengenai kedudukannya dalam beberapa senarai dalam talian yang menilai pemain kejohanan berdasarkan rupa paras.

“Saya tidak fikir ada apa-apa yang mengejutkan mengenainya. Ia sesuatu yang normal,” katanya sambil mencetuskan gelak ketawa hadirin.

“Dan saya rasa ia bukan pun topik perbualan dalam bilik persalinan kerana seluruh pasukan sebulat suara berpendapat bahawa sayalah yang paling comel.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top