Baitulmaqdis: Hamas belum memberikan maklum balas kepada Donald Trump berkaitan pelan Gaza yang dicadangkan beliau, manakala Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata tentera Israel akan kekal di sebahagian besar wilayah itu, berikutan beliau telah menyatakan sokongan kepada presiden Amerika Syarikat itu.
Pelan itu menyeru gencatan senjata, pembebasan tebusan oleh Hamas dalam masa 72 jam, pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel berperingkat dari Gaza, diikuti pihak berkuasa peralihan pasca perang diketuai oleh Trump sendiri.
Seorang pegawai kanan Hamas pada Isnin berkata kumpulan itu belum menerima pelan 20 perkara itu, namun seorang pegawai yang mendapat taklimat memberitahu AFP bahawa pengantara Qatar dan Mesir telah bertemu dengan Hamas bagi menyampaikan dokumen itu.
Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Ketua Perisikan Mesir Hassan Mahmoud Rashad “baru saja bertemu dengan perunding Hamas dan berkongsi pelan 20 perkara”.
Perunding Hamas berkata, mereka akan meneliti dengan niat baik dan akan memberikan maklum balas, kata sumber itu yang enggan dikenali.
Dalam kenyataan video disiarkan di saluran Telegram beliau selepas sidang media bersama Trump, Netanyahu berkata tentera akan kekal di sebahagian besar Gaza. Beliau juga berkata beliau tidak bersetuju dengan penubuhan negara Palestin semasa perbincangannya dengan Trump.
“Kami akan mendapatkan semua tebusan kami, hidup dan selamat, manakala (tentera Israel) akan kekal di sebahagian besar Semenanjung Gaza,” katanya.
Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich, ahli gabungan kerajaan Netanyahu, menyelar pelan itu sebagai “kegagalan diplomatik yang teruk”.
“Pada anggaran saya, ia juga akan berakhir dengan air mata. Anak-anak kita akan terpaksa berperang di Gaza sekali lagi,” katanya.
Di Washington pada Isnin, Trump menegaskan bahawa keamanan di Asia Barat “amat hampir” dan menyifatkan pengumuman itu sebagai “hari yang indah – berpotensi menjadi salah satu hari terhebat dalam sejarah tamadun”.
Pelannya termasuk penempatan “pasukan penstabilan antarabangsa sementara” – dan penubuhan pihak berkuasa peralihan diketuai oleh Trump sendiri dan disertai bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair.
Blair, yang masih dibenci di Asia Barat berikutan peranannya dalam perang Iraq 2003, memuji pelan itu sebagai “berani dan bijak”.
Perjanjian itu akan menuntut Hamas melucutkan senjata sepenuhnya dan dikecualikan dari peranan masa depan dalam kerajaan, namun mereka yang bersetuju untuk “hidup bersama secara aman” akan diberikan pengampunan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






