Harga harumanis RM40 sekilogram munasabah

Harga harumanis RM40 sekilogram munasabah


KANGAR: Harga mempelam harumanis yang boleh mencecah sehingga RM40 sekilogram atau lebih khususnya jika di berada pasaran di luar negeri ini adalah munasabah kerana penjagaan pokok mangga tersebut amat rumit dan sukar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pengusaha perlu menguruskan tanaman harumanis setiap hari malah terpaksa berdepan keadaan cuaca tidak menentu dan serangan perosak serta penyakit yang boleh menyebabkan pengeluaran hasil tanaman terjejas.

Titah baginda, dalam usaha bagi memastikan penghasilan mangga berkualiti premium berada pada tahap terbaik, pengusaha harus mengikut saranan, khidmat nasihat dan sentiasa mengikuti kursus dianjurkan Jabatan Pertanian.

Selain itu, titah baginda, amalan pertanian baik perlu diamalkan oleh setiap pengusaha harumanis dan seterusnya dapatkan pensijilan myGAP untuk menghasilkan buah mangga harumanis Perlis gred premium, berkualiti dan selamat untuk dimakan.

“Saya juga menyeru agar semua pihak memainkan peranan penting dan berganding bahu dalam memastikan setiap isu yang dihadapi di setiap rantaian dapat ditangani dengan berkesan bagi meningkatkan pengeluaran dan memelihara kualiti buah harumanis Perlis,” titah baginda pada majlis pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis 2024 di Masjid Tuanku Syed Putra di sini semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan putera baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman.

Seterusnya baginda bertitah, musim pengeluaran mangga harumanis tahun ini baru bermula dan akan berhasil sehingga Jun depan.

“Pengeluaran buah ikonik Perlis ini sememangnya amat dinanti-nantikan kerana tanaman ini hanya berbuah sekali sahaja dalam setahun.

“Buah harumanis Perlis ini mempunyai permintaan tinggi di pasaran dan bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024/2025, mangga ini juga merupakan salah satu tarikan utama pengunjung dalam atau luar negara yang datang ke negeri ini.

“Ianya juga dapat mengetengahkan Perlis sebagai destinasi agro pelancongan popular di dalam negara sekali gus dapat memperkasakan lagi ekonomi dan membantu pengusaha serta usahawan industri hiliran meningkatkan sumber pendapatan mereka,” titah baginda._UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top