Hasrat UMNO perintah Sabah semula hanya angan-angan – Zulkarnain

Hasrat UMNO perintah Sabah semula hanya angan-angan – Zulkarnain


KUALA LUMPUR – Hasrat UMNO untuk memerintah semula Sabah hanya sekadar angan-angan  dan penyedap telinga untuk didengar.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, semangat sahaja tidak cukup sebagai modal untuk UMNO menumbangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

“Angan-angan itu tidak akan tercapai selagi mana Datuk Seri Bung Moktar Radin masih menerajui UMNO di Sabah.

“Malah kebersamaan UMNO bersama Warisan terjalin utuh selagi itulah hasrat memerintah Sabah hanya retorik dan terlalu sukar menjadi kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti Melayu itu yang sedang berdepan dengan ujian ketika ini dijangka memerintah semula Sabah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Hasrat itu dinyatakan Ahmad Zahid dalam Majlis Perasmian Cawangan-Cawangan dan Santapan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan, Sabah semalam.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, sebagai salah seorang bekas aktivis dan ahli UMNO yang menjadi barisan hadapan sejak sekian lama, beliau mendakwa parti itu menjadi rosak akibat tangan Bung Mokhtar sendiri.

“Sebagai salah seorang individu yang menumbangkan Warisan pada PRN-16 lalu, hakikat yang perlu diterima semua pihak adalah UMNO Sabah telah dirosakkan oleh Bung Moktar.

“Keputusan kudeta di Sabah atau Langkah Kinabalu pada 5 Januari 2023 bersama Parti Warisan Sabah adalah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh Bung Moktar dan inilah punca bermulanya titik perpecahan UMNO di Sabah,” katanya.

Zulkarnain melahirkan rasa hairan dengan jangkaan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diperoleh pimpinan UMNO Sabah hingga mendorong Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Malahan wujud kajian daripada badan bebas termasuk penganalisis politik, kerusi selamat bagi UMNO di Sabah kini hanya berbaki dua atau tiga kerusi sahaja.

“Kalaulah perancangan bersama Warisan pula digunakan sebagai salah satu formula untuk merampas semula Sabah, UMNO jelas berada pada langkah yang cukup salah.

“Warisan secara total telah ditolak majoriti rakyat Sabah dan sebagai bukti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu parti ini hanya menang tiga kerusi selepas bertanding 25 kerusi di Sabah,” katanya.

Menurut Zulkarnain, Parti UPKO pula hampir lumpuh sepenuhnya apabila bersama Warisan malahan pada PRN16, parti itu hanya menang satu kerusi sahaja.

“Mujur barisan kepimpinan UPKO segera bertindak meninggalkan parti untuk bekerjasama bersama Warisan. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula sedar akan situasi ini dan oleh sebab itu UMNO melalui Bung Moktar telah digunakan untuk melonjakkan momentum sokongan rakyat kepada Warisan,” katanya lagi.

Katanya, rakyat Sabah sebenarnya secara total telah menolak Warisan dengan alasan rekod buruk parti itu yang hanya memerintah negeri itu hanya 26 bulan sahaja.

“Kegagalan membawa masuk walau satu pun pelabur luar ke Sabah, kadar KDNK jatuh ke paras 0.5 peratus, isu sempornasisasi, cadangan penempatan sebuah pulau kepada PTI, malahan terlalu banyak isu menyebabkan rakyat dilihat merasa ngeri untuk memilih semula Warisan memerintah Sabah.

“Momentum penolakan oleh rakyat Sabah ini dijangka akan berteruskan sehingga ke PRN17 yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top