July 19, 2024

HDR Corp belum boleh diklasifikasikan sebagai skandal besar

HDR Corp belum boleh diklasifikasikan sebagai skandal besar


PUTRAJAYA – Pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan untuk pelaburan belum boleh diklasifikasikan sebagai skandal besar.

Jurucakap kerajaan perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk memberikan penjelasan mengenai pendedahan PAC di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

“Kita belum ada maklumat penuh mengenai isu berkait HRD Corp.

“Tapi mungkin kita perlu penelitian dan kita beri ruang kepada Ahli Parlimen untuk bahas dan menteri Kesuma untuk beri jawapan di Parlimen dahulu.

“Belum masanya untuk kita membuat apa-apa pengklasifikasian seperti kes 1MDB,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di pejabatnya, di sini, hari ini.

Fahmi mengulas pertanyaan media samada pendedahan PAC itu boleh diklasifikasikan sebagai skandal besar seperti mana yang berlaku terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.

Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan tidak mempunyai halangan untuk membenarkan pihak berkuasa menyiasat pendedahan tersebut.

“Sekiranya pihak Jabatan Audit Negara berpandangan terdapat apa-apa perkara yang perlu dipanjangkan ataupun dibawa ke perhatian badan penguatkuasaan seperti SPRM, itu (kerajaan) tidak ada halangan,” katanya.

Semalam, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mendapati sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Jelas Mas Ermieyati, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 semalam, berkata Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top