July 16, 2024

'Selamat berjaya kepada Tan Sri Noh'

'Selamat berjaya kepada Tan Sri Noh'



mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menasihatkan Tan Sri Omar Noh supaya jangan lupa mengenang jasa parti keramat itu sehingga beliau berada pada kedudukan hari ini.

Mohd Sharkar berkata, beliau menghormati keputusan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu yang mengumumkan menyertai Bersatu semalam.

“Kita hendak ucap selamat berjaya kepada Tan Sri (Noh)… (dapat) kawan baru, platform baru dan perjuangan baru.

“Saya dengar juga (Noh masuk Bersatu) sebab dia kawan saya tetapi itu hak dia untuk masuk Bersatu dan kita tak pernah melarang dan menyuruh sebab dalam Perlembagaan menyebut setiap orang boleh berpersatuan maknanya boleh pilih mana saja platform atau mana-mana parti politik.

“Cuma kita harap Noh Omar tidak lupa jasa Umno sehingga beliau bertanding enam penggal dan menjadi menteri serta berada di kedudukan yang ada ini,” katanya kepada media di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Noh menyertai Bersatu semalam

selepas kecewa dan sedih dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu kemungkinan mempunyai alasan tersendiri memilih menyertai Bersatu.

“Tan Sri mungkin ada sebab mungkin dia tidak dapat bertanding tetapi dia mempunyai hak untuk rasa hati dan hak dia hendak masuk mana-mana parti,” katanya.

Semalam Noh dilaporkan berkata, keputusan untuk menyertai Bersatu agak berat dan mengambil masa lebih setengah tahun memutuskannya kerana mengingati pesanan Najib yang ditemuinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebelum ini.

Namun, beliau memutuskan menyertai Bersatu semalam selepas kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin menolak permohonan Najib, bagi memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan, dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top