Homes of Hope buat pesakit kanser kurang berkemampuan

Homes of Hope buat pesakit kanser kurang berkemampuan



am@hmetro.com.my

Ipoh: Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melancarkan Rumah Harapan NCSM-CARITAS “Homes of Hope” (HoH) bagi pesakit kanser kurang berkemampuan, hari ini.

Terletak di Jalan Kompleks Sukan, Kampung Simee, di sini, rumah penginapan sementara itu berperanan meringankan beban pesakit kanser yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Ia menyediakan penempatan dan pengangkutan percuma dengan bantuan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

HoH menyediakan penginapan selesa dilengkapi pelbagai kemudahan dan sokongan lain yang diperlukan oleh pesakit kanser semasa menjalani rawatan kanser dengan kesemuanya disediakan adalah percuma.

Pengarah Urusan NCSM, Prof Madya Dr M Murallitharan menerusi sembah ucapannya berkata, penubuhan HoH NCSM Perak dengan kerjasama Caritas Malaysia itu mula beroperasi sejak 2023.

Menurutnya ia bermula dengan 30 katil yang beroperasi sebagai ‘feeder’ rumah transit bagi pesakit kanser di HRPB di mana pesakit dan ahli keluarga diberi kemudahan untuk tinggal secara percuma.

“Sukacita disembah maklumkan bahawa rumah ini menerima pesakit kanser tidak kira dewasa atau kanak-kanak.

“Rumah ini juga turut diperkukuhkan dengan perkhidmatan kaunseling dan klinikal psikologi serta perkhidmatan kaunseling makanan dan nutrisi dengan kesemua perkhidmatan ini disediakan secara percuma untuk warga am Perak keseluruhannya dan dikendalikan oleh staf sepenuh masa di hospital.

“Izinkan patik mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama dan bantuan semua pihak tidak kira badan bukan kerajaan (NGO), korporat, mahupun individu untuk menyumbang demi memastikan beban pesakit kanser ini diringankan,” katanya.

Murallitharan berkata demikian bersempena Program Jelajah Human Papillomavirus (HPV): Menoktahkan Kanser Servik di seluruh Perak yang bermula hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr FeisulIdzwan Mustapha.

Seiring dengan pelancaran HoH, Tuanku Zara turut melancarkan Program Jelajah HPV di seluruh Perak – sebahagian daripada inisiatif program “Leaving No One Behind” (Tanpa Meninggalkan Sesiapapun) anjuran NCSM.

Ia yang sedang berlangsung di seluruh negara bertujuan menoktahkan kanser serviks di Malaysia melalui pemberian imunisasi HPV secara percuma.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top