Implan elektronik untuk bantu individu hilang penglihatan

Implan elektronik untuk bantu individu hilang penglihatan


London: Satu implan mata elektronik setebal separuh daripada rambut manusia membantu individu yang kehilangan penglihatan untuk melihat semula, lapor The Guardian.

Peranti prostetik berbentuk seperti kad SIM itu berjaya membantu 38 pesakit warga emas mendapatkan semula keupayaan membaca huruf, nombor dan perkataan.

Menurut pakar, pencapaian itu menandakan era baharu dalam sejarah penglihatan buatan.

Perunding kanan di Hospital Mata Moorfields, London, Mahi Muqit berkata, pesakit buta kini boleh mendapatkan semula penglihatan.

Katanya, keupayaan membaca kembali meningkatkan kualiti hidup pesakit selain memulihkan keyakinan dan kebebasan mereka.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, pesakit perlu menjalani latihan intensif bagi membiasakan diri menggunakan jenis penglihatan baharu itu.

Dalam ujian dijalankan, 84 peratus peserta kembali mampu membaca selepas dipasang dengan implan yang dinamakan peranti Prima.

Dalam pada itu, pakar mata memuji keputusan itu sebagai luar biasa kerana berpotensi membantu pesakit yang mengalami degenerasi makula berkaitan usia (AMD).

Sementara itu, pihak Hospital Mata Moorfields, London, berkata, implan baharu itu adalah peranti pertama membolehkan seseorang membaca melalui mata yang kehilangan penglihatan.

Semua 38 pesakit terbabit mengalami atrofi geografi dengan AMD kering dan tiada rawatan berkesan sebelum ini.

Prosedur pembedahan mengambil masa kurang dua jam dengan lima pesakit dirawat di Hospital Mata Moorfields, London, manakala selebihnya di tempat lain di Eropah.

Salah seorang pesakit, Sheila Irvine berkata, implan itu memberi perubahan besar apabila dia mula nampak huruf dan mampu membaca semula.

Peranti Prima berukuran hanya 2 milimeter (mm) x 2 mm dan digunakan bersama cermin mata realiti tambahan yang disambung ke komputer kecil di pinggang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top