May 24, 2024

Ini soal prinsip dan maruah MCA, harap-harap semua faham – Ka Siong


KUALA LUMPUR – MCA berkeras dan bertegas untuk tidak membantu DAP dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pendirian MCA itu jelas demi prinsip dan maruah parti tersebut yang selama ini dihina, dimaki hamun dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan liar oleh DAP.

Tegas beliau, pendirian tersebut bukan soal tidak mahu berjiwa besar tetapi prinsip dan maruah MCA perlu dipertahankan.

“Harap-harap semua faham ya,” kata Ka Siong menerusi rakaman video yang disiarkan di media sosial parti tersebut.

Beliau turut membidas DAP yang selama ini begitu angkuh ‘bantai’, caci dan maki hamun MCA tetapi sekarang mahu parti tersebut membantu dalam kempen PRK KKB.

“Sekarang kamu mahu MCA berjiwa besar?

“Apa kamu ingat MCA ni tak ada maruah atau takda perasaan ke? Apabila ahli parti saya terguris dengan kata-kata penghinaan pemimpin DAP, adakah saya selaku Presiden MCA hanya berdiam diri sahaja?

“Ini soal maruah dan dignity (martabat) parti saya.

“Takkan saya nak bersabar lagi. Selepas dicaci oleh parti itu, takkan nak suruh ahli-ahli MCA ‘mencium mulut’ dengan pemimpin dia atau penjilat pemimpin dia parti itu?

“Sorry ye,” bidas beliau lagi.

Ka Siong mengingatkan, MCA dilahirkan di bumi Malaysia sejak tahun 1949 dan sebuah parti yang menuntut kemerdekaan bersama UMNO dan MIC serta banyak berjasa, berbakti kepada masyarakat berbilang kaum.

Tambahnya, MCA bukan parti yang bermuka-muka atau hipokrit tetapi sebuah parti yang berterus-terang.

“Bayangkan jika apa yang DAP buat kepada MCA ini berlaku pada parti kamu (DAP), apa perasaan kamu? Cakap jujur, tepuk dada tanya selera,” bidas beliau lagi.

Ka Siong berkata, MCA memang mempunyai hubungan akrab dan erat dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) dan begitu menghargai nilai persahabatan ini.

Menurutnya, semangat setia kawan dan kebersamaan BN merupakan tunjang perjuangan sejak dulu hingga sekarang.

Namun, katanya, BN jangan lupa selama ini DAP hanya bertanding di kawasna-kawasan yang ditandingi oleh MCA bertanding atas tiket BN.

“Adakah saudara masih ingat parti itu (DAP) tidak, berapa lama yang lalu menuduh MCA bersekongkol dengan penyamun.

“Malah, MCA pernah dianggap pengkhianat Cina kerana tidak mengiktiraf UEC dan gagal memansuhkan sistem kuota bumiputera.

“BN dicaci dengan teruk dan MCA dijadikan sasaran kritikan parti itu. Kini parti yang sama, parti itu masih terus memaki hamun dan mencaci parti saya MCA macam-macam. Takkan saya nak bersabar lagi?,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top