Tehran: Iran akan mengadakan upacara pengebumian yang digambarkan sebagai ‘bersejarah’ di Tehran pada Sabtu (28 Jun) bagi 60 korban perang 12 hari dengan Israel, termasuk komander tertinggi tentera dan saintis nuklear.
Majlis penghormatan akhir akan bermula pada 0800 waktu tempatan (0430 GMT) di Dataran Enghelab (Revolusi) di tengah Tehran, diikuti dengan perarakan pengebumian ke Dataran Azadi, kira-kira 11 kilometer jauhnya.
“Satu upacara ringkas akan diadakan di sana, kemudian perarakan para syuhada akan menuju ke Dataran Azadi,” kata Ketua Majlis Penyelarasan Pembangunan Islam Tehran, Mohsen Mahmoudi dalam wawancara televisyen pada Jumaat.
Tambahnya, “esok akan menjadi hari bersejarah bagi Islamik Iran dan revolusi.”.
Antara yang terbunuh ialah Jeneral Mohammad Bagheri, seorang jeneral utama dalam Pengawal Revolusi Iran dan komandan kedua angkatan tentera selepas pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.
Beliau akan dikebumikan bersama isteri dan anak perempuannya iaitu wartawan untuk media tempatan. Semua mereka terbunuh dalam serangan Israel.
Saintis nuklear, Mohammad Mehdi Tehranchi yang turut terbunuh dalam serangan itu akan dikebumikan bersama isterinya.
Empat wanita dan empat kanak-kanak adalah antara yang akan diberi penghormatan pada upacara pengebumian terbabit.
Perang meletus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan yang dikatakan bertujuan untuk menghentikan Iran daripada membangunkan senjata nuklear, satu tuduhan yang dinafikan Tehran.
Serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 30 komander tertinggi Pengawal Revolusi Iran, menurut media tempatan, termasuk ketua komandernya Hossein Salami dan ketua pasukan aeroangkasanya, Amirali Hajizadeh yang menyelia program peluru berpandu balistik negara itu.
Setakat ini, tiada tanda Khamenei akan menghadiri pengebumian pada hari Sabtu.
Beliau sebelum ini telah menghadiri upacara untuk pihak berkuasa tinggi Iran, termasuk mendiang presiden Ebrahim Raisi, yang meninggal dunia dalam nahas helikopter tahun lalu.
Kementerian kesihatan Iran berkata, sekurang-kurangnya 627 orang awam terbunuh dan hampir 4,900 cedera dalam serangan Israel.
Serangan Iran ke atas Israel juga membunuh 28 orang, menurut pihak berkuasa Israel.
© New Straits Times Press (M) Bhd