London: Andoni Iraola tiba di Liverpool, hari ini untuk memuktamadkan butiran pelantikannya sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu susulan pemecatan Arne Slot.
Pengurus berusia 43 tahun itu tiba di Lapangan Terbang John Lennon di bandar itu dengan jet peribadi dari San Sebastian di Sepanyol dan dibawa pergi dengan sebuah kenderaan pelbagai guna berwarna perak tidak lama kemudian.
Iraola difahamkan bersetuju dengan kontrak dua tahun untuk menggantikan Slot, yang dipecat Sabtu lalu selepas gagal mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jurulatih dari Sepanyol itu dengan pantas dikenal pasti sebagai sasaran utama kelab dan rundingan dijalankan dengan cepat kerana dia sudah bersetuju untuk meninggalkan Bournemouth pada penghujung musim ini.
Slot membawa Liverpool meraih gelaran liga Inggeris ke-20 yang menyamai rekod pada musim pertamanya pada 2024/25, tetapi tidak berdaya menghalang kemerosotan Liverpool dalam musim keduanya mengendalikan pasukan.
The Reds menamatkan saingan di tempat kelima EPL dengan ketinggalan 25 mata di belakang juara, Arsenal yang sekurang-kurangnya menjamin kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan.
Iraola dijangka menerapkan corak permainan yang lebih mendesak dan agresif, yang menjadi identiti pasukan di bawah bekas pengurus kesayangan, Jurgen Klopp.
Dia menerima pujian meluas selepas Bournemouth menamatkan saingan di tempat keenam EPL musim ini, yang memastikan kelayakan ke Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






