TEL AVIV: Jurucakap Tentera Israel, Daniel Hagari akhirnya mengakui adalah mustahil untuk memusnahkan Hamas sepanjang bertempur di Semenanjung Gaza, lapor The Palestine Chronicle.
Pengakuan itu bertentangan dengan kenyataan sebelum ini tentang keupayaan rejim Zionis untuk menyerang ketenteraan Hamas di Gaza.
Ia juga bercanggah dengan matlamat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mahukan ‘kemenangan total’ di Gaza.
Tentera dan kerajaan Netanyahu dilihat semakin tidak sependapat. Baru-baru ini, tentera Israel menghentikan operasi di selatan Gaza tanpa berunding dengan pemimpin politik, yang menimbulkan kemarahan Netanyahu.
Ketegangan semakin meningkat sejak 7 Oktober, tahun lalu, dengan tentera Israel semakin kecewa dengan kekurangan rancangan politik pasca perang.
Sebelum ini, majlis perang yang melibatkan pemimpin pembangkang Israel membantu menguruskan konflik, tetapi pembubarannya telah mengubah dinamik politik.
Kini, tentera Israel berasa lebih yakin untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka secara terbuka.
Selama ini, jeneral-jeneral Israel diserap ke dalam pengurusan politik selepas mereka bersara, atau cenderung berkhidmat sebagai perunding dalam firma pembuatan ketenteraan utama Israel.
Namun, pembentukan politik baharu Netanyahu dilihat dengan sengaja meminggirkan pengurusan tentera.
Kepemimpinan tentera Israel pasti menyedari senario pasca perang di Israel mesti merangkumi pengembalian peranan politiknya sebagai sebahagian daripada pengurusan politik.
Untuk melakukan ini, tokoh-tokoh sayap kanan seperti Menteri, Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich, kedua-duanya tanpa pengalaman ketenteraan tidak boleh menjadi sebahagian daripada pembentukan politik Israel.