BINTANG Mesir, Mohamed Salah dan rakan sepasukan berdepan gangguan perancangan perjalanan selepas tidak dibenarkan memasuki bandar Seattle sejurus mencatat kemenangan bersejarah ke atas New Zealand dalam aksi Piala Dunia.
Mesir menewaskan New Zealand 3-1 di Vancouver pada 22 Jun, sekali gus meraih kemenangan pertama negara itu dalam sejarah kejohanan berkenaan dan melonjak ke tangga teratas Kumpulan G.
Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila rancangan pasukan untuk bergerak terus ke Seattle bagi persiapan aksi seterusnya menentang Iran tidak mendapat kelulusan pihak keselamatan.
Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Mesir, pasukan terpaksa mengubah perancangan dan kembali ke pangkalan latihan di Spokane, Washington.
Ketua jurulatih, Hossam Hassan berkata keputusan itu menyebabkan skuad negara berdepan perjalanan tambahan yang tidak dirancang, sekali gus memberi kesan kepada persiapan pasukan.
“Pihak keselamatan tidak membenarkan kami kekal di Seattle seperti dirancang selepas perlawanan,” katanya.
“Kami terpaksa kembali ke Spokane,” jelasnya.
Mesir sebelum ini merancang untuk terus ke Seattle bagi mengelakkan keletihan akibat perjalanan berulang, memandangkan aksi menentang Iran turut berlangsung di bandar sama.
Bagaimanapun, keputusan tersebut memaksa pasukan melakukan penerbangan sekitar satu jam 20 minit dari Spokane ke Seattle menjelang perlawanan penting kumpulan.
Dalam masa sama, Iran turut berdepan isu logistik apabila terpaksa menjalani kem latihan di Tijuana, Mexico walaupun semua perlawanan kumpulan mereka berlangsung di Amerika Syarikat.
Ketua jurulatih Iran, Ardeshir Ghalenoei sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap jadual persiapan yang dianggap tidak ideal, dengan masa latihan yang terhad sebelum aksi menentang Belgium.
Mesir kini mendahului Kumpulan G dengan empat mata, diikuti Iran dan Belgium masing-masing dua mata, manakala New Zealand di tangga tercorot dengan satu mata.
Keputusan seri sudah mencukupi untuk melayakkan Mesir ke pusingan kalah mati, namun kemenangan akan mengesahkan kemaraan lebih awal.






