KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung kehadiran syarikat perlombongan nadir bumi Australia, Lynas secara tidak langsung membuktikan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah tepat.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mengkritik BN berhubung isu Lynas itu kini membuat `pusingan U’ dan bersetuju dengan apa yang dilakukan malah meneruskan idea yang telah diilhamkan oleh kerajaan BN ketika itu.
“Nampaknya hari ini mereka terpaksa menjilat ludah sendiri, menelan segala fitnah dan kata-kata cacian yang mereka lemparkan kepada BN dulu.
“Suka tak suka, hari ini mereka terpaksa mengakui bahawa dulu mereka salah, BN betul.
“Saya tahu ia adalah kebenaran yang pahit untuk ditelan oleh Rafizi dan rakan-rakan.
“Saya bukannya nak menyangkal mana-mana pihak dalam hal ini cumanya saya nak mengingatkan tentang apa yang berlaku sebelum 2018 di mana rakan-rakan seperjuangan saya dalam MCA dan BN teruk dikecam dengan pelbagai tuduhan tidak berasas serta dipanah dengan fitnah bertalu-talu tanpa belas kasihan,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebook MCA.
Ka Siong mengulas mengenai kenyataan Rafizi menerusi podcast `Yang Bakar Menteri’ yang turut menampilkan Datuk Eric See-To yang juga dikenali sebagai Lim Sian See sebagai tetamu baru-baru ini.
Menerusi podcast itu, Rafizi dilaporkan berkata, perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks yang betul dan bantahan dibuat sebelum ini kerana Malaysia dijadikan tempat pembuangan produk sampingan sisa.
Sementara itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam meminta pemimpin PH supaya berbincang terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan yang mengelirukan.
Dalam masa, beliau turut mempersoalkan sama ada pemimpin PH berkenaan sanggup membuat permohonan maaf secara terbuka dan ikhlas berhubung isu tersebut.
“YB Menteri (Rafizi), lain kali boleh tak YB check (semak) dulu dengan kawan-kawan dan selaraskan fakta. Janganlah pusing-pusing, pening tahu,” tegasnya.
Sebelum ini, pemimpin PH senada dan tegas dalam membantah operasi Lynas di negara ini yang disifatkan mengancam nyawa rakyat.
Antara yang kuat melantang sebelum ini ialah bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang menegaskan pendirian PH untuk tidak membenarkan Lynas menjadikan rakyat Malaysia sebagai ‘tikus makmal’ bagi menguji produk sampingan yang tercemar. – MalaysiaGazette