Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor tidak melibatkan perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Isu PRN Johor tak dibincangkan

Memetik laporan Bernama, menurut Ahmad Zahid, sesi menghadap serta sesi fotografi bersama Seri Paduka Baginda dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor hanyalah sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.
Beliau menjelaskan bahawa lawatan tersebut mempunyai nilai simbolik tersendiri kerana UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di lokasi sama, iaitu Istana Besar Johor, dan sesi fotografi berkenaan turut mengimbau sejarah tersebut.
“Saya bertemu (Agong) tetapi tidak menyentuh langsung mengenai perkara itu… ia satu peristiwa sangat signifikan kerana penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 juga dilakukan di Istana Besar Johor dan sesi fotografi yang sama turut diadakan ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Antara yang hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin dan Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut ditanya mengenai Mesyuarat MT UMNO yang diadakan hari ini. Beliau menegaskan bahawa pertemuan tersebut merupakan mesyuarat rutin parti walaupun pelbagai isu nasional dibincangkan.
“Secara seriusnya, saya ingin menyatakan bahawa ini hanyalah mesyuarat biasa… walaupun banyak isu nasional dibincangkan, topik PRN Johor tidak disentuh,” jelasnya.
Mengulas mengenai kemungkinan PRN Johor diadakan lebih awal berbanding Melaka, beliau berkata sebarang keputusan hanya akan dibincangkan bersama Onn Hafiz selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor.

Artikel lain: Rumah perjuangan bangsa! UMNO kekal diyakini, kini pilihan anak muda- Zahid Hamidi
Sementara itu, Ahmad Zahid memuji pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Onn Hafiz yang disifatkan berjaya membawa perubahan positif, khususnya melalui pengumuman dalam Belanjawan 2026 dan persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
“Peningkatan pendapatan negeri membolehkan pengagihan dibuat secara adil kepada semua kumpulan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan agama… kita harapkan kemakmuran ini dihargai oleh seluruh rakyat Johor,” tambahnya lagi.
Sumber: Bernama






