Jurusolek dan pempengaruh, Flackitsman tampil memberikan penjelasan berhubung solekan penyanyi muda, Umairah, ketika membuat persembahan pada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Flackitsman atau nama sebenarnya Aiman Shahiran menjelaskan faktor pencahayaan pentas dan paparan skrin besar antara punca solekan tersebut kelihatan berbeza berbanding secara langsung.
Menurutnya, warna solekan yang dipaparkan di skrin besar kelihatan lebih tepu berikutan gabungan pencahayaan terang serta penggunaan lampu berwarna oren dan kuning di atas pentas.
“Di skrin besar memang warna nampak terlebih tepu kerana pencahayaan di pentas sangat terang. Tambahan pula dengan campuran lampu oren dan kuning. Malah warna busana untuk kedua-dua mereka juga kelihatan berbeza,” katanya.
Aiman turut menjelaskan solekan tersebut telah pun dilaraskan agar tidak terlalu menonjol sebelum Umairah naik ke pentas.
“Sebenarnya sebelum naik ke pentas, kami sudah ‘tone down’ lagi. Untuk solekan ini, secara nyata dan di kamera memang nampak sesuai. Gambar dan video sebenar boleh dilihat di Instagram saya. Namun terima kasih atas keprihatinan dan teguran,” katanya lagi.
Aiman berkata demikian sebagai membalas ciapan seorang individu yang mempersoalkan solekan Umairah, yang juga anak saudara kepada Biduanita Negara itu, dan mendakwa ia kurang sesuai dengan raut wajah penyanyi berkenaan.

Untuk rekod, Umairah tampil sebagai penyanyi jemputan pada malam Konsert Legacy 30 dengan mendendangkan lagu berjudul Hati Kama, sekali gus mencuri perhatian penonton yang hadir.






