Pelakon, Jazmy Juma meminta segelintir pihak bertindak lebih profesional dengan menghormati batas privasinya serta menghentikan kecaman melampau di media sosial.
Menurut Jazmy, dia lebih selesa sekiranya perjalanan kerjaya seninya tidak dicampuradukkan dengan urusan peribadinya.
“Saya tak okey. Saya nak mintak segelintir orang tolong hormat saya. Tolong hormat kehidupan peribadi saya.
“Kerja saya dengan kehidupan peribadi adalah dua perkara yang berbeza. Jadi, tolong hormat. Tolong jaga kata-kata anda semua,” katanya menerusi perkongsian video di TikTok.
Meskipun tidak mengulas lanjut mengenai kata-kata kesat yang diterimanya, pelakon drama Hilang Dalam Rindu itu juga enggan mendedahkan identiti individu terlibat yang didakwa mengganggu ketenteramannya.
Tidak habis disitu, Jazmy berharap agar setiap pihak dapat memberikan sokongan terhadap kerjaya seninya.
“Saya tak pernah bercakap macam ini. Saya selalu gembira saja. Tapi kali ini saya terpaksa bersuara.
“Saya harap sokong saya secara ikhlas. Terima kasih yang sokong saya secara ikhlas dan jujur,” ujarnya.






