Jamuan Hari Raya Balai Berita Prai meriah

Jamuan Hari Raya Balai Berita Prai meriah



am@hmetro.co.my

Butterworth: Meskipun Syawal sudah melabuhkan tirainya, kemeriahan Aidilfitri masih dirasai warga kerja Print Tower Sdn Bhd (PTSB), Media Prima Berhad (MPB) dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang diraikan dalam Jamuan Hari Raya Balai Berita Prai di sini, hari ini.

Majlis bermula jam 3 petang itu diserikan dengan kehadiran Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pegawai Operasi PTSB, Luqman Adrine Jaafar.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Rosli Sabarudin; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim; Pengarang Eksekutif NST, Sharanjit Singh dan Ketua Pegawai Kewangan NSTP, Fadzli Mustapha.

Menurut Luqman Adrine, PTSB selaku tuan rumah Jamuan Hari Raya Balai Berita Prai menjemput kira-kira 50 tetamu termasuk bekas kakitangan PTSB sama ada yang bersara atau memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebagai tanda penghargaan buat para petugas kilang percetakan akhbar milik NSTP itu.

“Jamuan Aidilfitri ini diadakan setiap tahun bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja di sini yang kebanyakannya terlibat dalam operasi percetakan dan logistik selain kita turut menjemput bekas kakitangan sebagai tanda penghargaan buat mereka.

“Kita juga mengambil peluang untuk bersama-sama berkumpul dengan pihak pengurusan dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi hadir,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Pelbagai juadah enak disajikan antaranya lemang, ketupat, rendang, kuih-muih tradisional, nasi impit, nasi minyak, kambing golek selain aneka kek sebagai pencuci mulut.

Dalam pada itu, Luqman Adrine berkongsi, kilang percetakan di Perai menjadi pusat operasi berpusat mencetak dan mengedar kira-kira 70,000 naskhah akhbar Berita Harian, Harian Metro dan NST pada setiap hari sejak Ogos 2022.

Luqman Adrine dalam pada itu turut mengalu-alukan permohonan lawatan daripada pihak sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berminat melihat sendiri proses percetakan akhbar secara lebih dekat.

“Sebenarnya banyak kita boleh belajar daripada daripada proses percetakan akhbar lebih-lebih lagi pada masa kini, generasi muda kita lebih cenderung berminat kepada gajet dan peranti elektronik,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top